Seorang pemandu kereta rentung manakala pemandu bas ekspres bersama 10 penumpangnya selamat apabila kedua-dua kenderaan itu terbakar akibat kemalangan di Jalan Endau-Mersing dekat Mersing, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Endau Penolong Penguasa Bomba Mohd Alias Hussin berkata pihaknya menerima laporan kejadian berhampiran Kampung Tenglu menghala ke Endau itu pada 11.25 malam.
"Bas ekspres syarikat Transnasional dan kereta Perodua Myvi itu terbakar keseluruhan selepas berlanggar.
"Kesemua mangsa di dalam bas, melibatkan empat wanita dan tujuh lelaki selamat manakala pemandu kereta iaitu seorang lelaki dianggar berusia 20-an ditemui rentung selepas api dipadamkan," katanya.
Mohd Alias berkata operasi memadam kebakaran terbabit selesai pada 3 pagi tadi dengan melibatkan dua pegawai dan 15 anggota bomba dari Balai Endau serta Mersing.
Beliau berkata bas tersebut datang dari arah Mersing ke Endau manakala kereta itu dari arah sebaliknya. Katanya identiti mangsa tidak dapat diperoleh di lokasi kejadian memandangkan kenderaan bersama mangsa telah terbakar.- Bernama
No comments:
Post a Comment