PRU14 | Penduduk Langkawi yang sedang menjadi perhatian seluruh negara kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mungkin boleh melupakan seketika persaingan sengit politik.
Ketika calon parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan ceramah, mereka yang mahukan kelainan boleh memilih menyaksikan konsert yang membariskan artis terkenal seperti Datuk Ramli Sarip.
Konsert besar-besaran akan diadakan di Langkawi pada 8 Mei ini, iaitu hari yang sama Pengerusi HARAPAN membuat ceramah penutup kempennya di Pulau Mahsuri itu.
Bekas Perdana Menteri itu dijangka akan membuat ceramah penutup kempen HARAPAN di Langkawi yang akan disiarkan secara langsung di semua majlis ceramah gabungan itu di seluruh negara bermula jam 9.30 malam.
Dr Mahathir juga disebut-sebut akan menjadi perdana menteri buat kali kedua jika HARAPAN berjaya menawan Putrajaya pada PRU14.
Sementara itu, selain Ramli, Konsert #Langkawi Hebat itu akan itu akan menampilkan artis terkenal seperti Datuk Dj Dave, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow, Ruffedge, Ayda Jebat, Ernie Zakri, Zahirah Macwilson dan Achey Boyey.
Konsert Anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Kementerian Kewangan Malaysia itu akan diadakan di Dataran Lang, kira-kira 3.6 kilometer dari jarak ceramah Dr Mahathir berucap.
Selain itu, terdapat juga pertunjukan bunga api dan cabutan bertuah menawarkan hadiah motosikal, telefon bimbit, permainan Play Station dan banyak lagi.
No comments:
Post a Comment