Tuesday, May 29, 2018

Umno dakwa kerajaan ambil jalan mudah penuhi janji manifesto

MALAYSIAKINI


   
Umno beranggapan, kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mempunyai ahli yang dapat berfikir secara di luar kotak (outside the box) bagi memenuhi janji manifestonya, kecuali mengambil jalan mudah.

Menurut Umno, rakyat bimbang dengan hasrat kerajaan HARAPAN yang semakin tidak menentu membuat keputusan membabitkan ekonomi negara.

Ini termasuk, kata parti itu, terperangkap dalam pelbagai cadangan pihak tertentu yang tiba-tiba timbul, termasuk menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang diuar-uarkan bernilai RM1 trilion.

“Berhentilah daripada mempolitikkan hutang negara. Menteri Kewangan Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM686.8 bilion dan bukannya RM1 trilion,” menurut parti berkenaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Strategik, Ibu Pejabat Umno hari ini.

Katanya kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkatkan prestasi Petronas di dalam dan luar negara, menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengotakan janji-janji di dalam manifestonya.

Menurut parti berkenaan, pentadbiran BN sebelum ini sudah menguruskan hutang kerajaan dengan baik serta belum pernah gagal melunaskan pembayaran hutang dan pada masa sama, mampu memacu perkembangan ekonomi negara dengan pesat.

Kata Umno lagi, kerajaan juga enggan mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, serta hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri.- Bernama


No comments: