Wednesday, May 9, 2018

SAYA TAK FAHAM KALAU RAKYAT MASIH UNDI PKR – BADRUL HISHAM




“Saya tidak faham jika rakyat Selangor masih nak undi PKR. Saya telah banyak dedahkan sikap tidak jujur pemimpin mereka,” kata Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard berkata, beliau bukan sekadar bercakap kosong mengenai penyelewengan yang berlaku, sebaliknya disertakan dengan bukti serta fakta yang cukup.

“Rakyat boleh menyemak siri pendedahan yang kami SAMM lakukan malah diantara yang kami dedahkan telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pemimpin PKR lebih banyak berlakon kerana depan rakyat buat-buat baik serta telus namun pada realitinya mereka sangat rakus di belakang rakyat,” katanya.




Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan bukti terbaharu mengenai penyelewengan tanah bernilai RM1 bilion milik sebuah institusi agama Islam melibatkan beberapa pemimpin PKR kepada SPRM Selangor di Seksyen 16, Shah Alam, pada Selasa.

Badrul Hisham mendakwa beliau mempunyai bukti rakaman perbincangan beberapa individu, termasuk pemimpin PKR serta transaski tanah bernilai RM1 bilion.

“Saya serahkan bukti mengandungi salinan surat rasmi termasuk yang bertulisan tangan, salinan cetakan emel, cakera video digital dan salinan pengumuman rasmi penyenaraian syarikat berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, Badrul Hisham mendakwa tujuh calon PKR di Selangor bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 terlibat rasuah, melibatkan tiga calon kerusi Parlimen dan empat calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, SAMM telah menyerahkan memorandum setebal 300 muka surat kepada SPRM berhubung dakwaan perlombongan pasir haram di Selangor dan bukti penukaran status tanah di Paya Indah Wetlands daripada zon pertanian yang juga tapak Ramsar kepada pembangunan.

SAMM turut memyerahkan bukti kepada SPRM mengenai dakwaan rasuah melibatkan dua pemimpin PKR di Selangor berhubung pemberian tender Ekspo Raya Aidilfitri 2016 di Sungai Besar.

Kerajaan PKR Selangor turut dipalit dengan isu pembayaran oleh Menteri Besar Diperbadkan (MBI) kepada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) bagi projek Universiti Selangor (UNISEL), walaupun gagal menyempurnakan kontrak sedia ada.

Skandal tanah di Ijok turut menimbulkan kontroversi apabila ia diberikan kepada dua syarikat pemaju dengan harga RM1.18 bilion.


No comments: