Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli mengeluarkan satu kenyataan yang disifatkannya sebagai yang terakhir sebelum disumbat ke penjara sekiranya Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa.
“Ini mungkin kali terakhir anda mendapat mesej awam dari saya. Seperti yang anda tahu, saya telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun atas dua pertuduhan.
“Sudah tentu BN gembira apabila saya dipenjarakan kerana pendedahan-pendedahan saya, malah orang yang dibela seperti bekas-bekas askar dan keluarga mereka terus tegar menyokong BN,” katanya menerusi satu kenyataan dan video dalam laman Facebook rasminya, pada Rabu.
Bekas Ahli Parlimen Pandan itu bagaimanapun berkata, selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, beliau telah berjanji untuk mempertahankan hak rakyat.
Justeru katanya tidak wujud persoalan adakah berbaloi beliau dipenjarakan kerana membela nasib rakyatnya.
“Ini soal tanggungjawab dan amanah. Saya boleh tidur lena dan redha dengan apa pun nasib saya selepas ini.
“Tidak ada yang boleh menuding jari kepada saya bahawa saya tidak berusaha sebaik mungkin untuk membantu membawa perubahan,” katanya.
Rafizi turut mengingatkan masyarakat memberikan sumbangan dan memainkan peranan masing-masing dalam negara.
Menurut Rafizi sejak tiga tahun lalu, terdapat perubahan yang ketara di dalam masyarakat yang jelas yang menolak penyelewengan dan pecah amanah.
“Saya bersyukur kerana saya tidak keseorangan dalam bab menjaga tanggungjawab ini malah bersimpati dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merengkok dalam penjara pada usia 70-an kerana memperjuang nasib rakyat.
“Saya juga rasa bersalah melihatkan Tun Mahathir pada usia 90-an tetap turun padang untuk memperbetulkan keadaan,” katanya.
Sehubungan itu beliau mengingatkan masyarakat Malaysia supaya menginsafi keadaan dan menyedari mereka juga ada tanggungjawab yang perlu ditunaikan.
“Anda hanya perlu mengundi kerana itu sekecil-kecil tanggungjawab kita kepada anak isteri dan keluarga,” katanya.
Pada 7 Februari lepas Rafizi dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA), enam tahun lepas.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 18 bulan Rafizi kerana mendedahkan halaman 98 laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
No comments:
Post a Comment