KUALA LUMPUR: Para pengundi yang kehilangan kad pengenalan masih boleh
mengundi dengan membawa salinan laporan kehilangan kad pengenalan
bergambar sebagai bukti pengenalan diri, kata Pengerusi Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.
Beliau berkata, pengundi juga boleh membawa lesen memandu, pasport
terhad atau pasport antarabangsa yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak
berkuasa kerajaan sebagai pengenalan diri yang mengandungi nama, nombor
Kad Pengenalan dan gambar mereka.
Undi setiap rakyat Malaysia amat dihargai dan dalam pemerintahan
demokrasi, tiada sesuatu atau seseorang pun yang boleh menghalang
rakyat daripada mengundi, katanya.
“Undi setiap orang adalah rahsia dan tak sesiapa pun boleh
mengetahuinya melainkan pengundi itu sendiri yang memberitahu kepada
yang lain siapa yang diundinya. Anda berhak memilih sesiapa yang anda
suka,” katanya Mohd Hashim dipetik Bernama.
Ditanya mengenai ramai pengundi khuatir berhubung nombor siri pada
kertas undi yang kononnya bertujuan mengenal pasti pengundi, beliau
sekali lagi menegaskan pengundi tidak perlu bimbang akan berlaku
penipuan pada proses mengundi pada Rabu depan (9 Mei) kerana undi kekal
rahsia.
Beliau menjelaskan cetakan nombor siri hanyalah untuk memudahkan
petugas SPR membuat semakan dan pengiraan bilangan kertas undi, dan
bukannya untuk mengenal pasti pengundi.
“Pada kertas undi tidak terdapat nombor siri dan untuk pengetahuan,
selepas pengiraan kertas undi dan keputusan diketahui, kertas undi akan
disimpan di tempat selamat selama 21 hari sekiranya terdapat pihak yang
membuat petisyen dan memerlukan kiraan semula,” katanya.
Tambahnya, selepas 21 hari, kertas-kertas undi itu akan dilupuskan dengan cara membakar dan disaksikan oleh pelbagai pihak.
Mengenai ada pihak yang menjalankan kempen untuk merosakkan undi, Mohd
Hashim berkata perbuatan tidak mengundi atau mahu merosakkan undi
merupakan satu kerugian kerana undi itu adalah sesuatu hak yang berharga
dan seseorang itu hanya dapat berbuat demikian sekali setiap lima
tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, mana-mana majikan yang menghalang
pekerja untuk menunaikan kewajipan mengundi boleh didenda RM5,000 dan
penjara setahun mengikut subseksyen 25 Akta Pilihan Raya 1958.
Malah, tiada majikan boleh membuat potongan gaji atau saraan lain
terhadap mana-mana pemilih itu atau mengenakan ke atasnya atau menuntut
daripadanya penalti kerana tidak hadir kerja dalam tempoh berkenaan,
katanya.
No comments:
Post a Comment