Thursday, May 3, 2018

PH Pasir Puteh tawar manifesto khusus untuk Parlimen

Oleh Athirah Huda Zalhe dan Shahrul Shahwal Nordin

Kamarudin janji jadi wakil rakyat bawa suara masyarakat bukan parti

PASIR PUTEH – Satu manifesto khusus di peringkat Parlimen Pasir Puteh akan diumumkan tidak lama lagi, yang merangkumi semua aspek kebajikan rakyat dan pembangunan ekonomi di kawasan itu.

Calon Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding menggunakan logo PKR, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, pihaknya akan mengumumkan senarai manifesto berkenaan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau percaya tawaran manifesto di peringkat nasional dan negeri yang diumumkan Pakatan Harapan (PKR) untuk PRU14 kali ini, sudah cukup memberi keyakinan kepada pengundi untuk memilih gabungan pembangkang itu memerintah negara.

“Namun, saya ingin memberi jaminan kepada pengundi di Pasir Puteh, jika diberi mandat di sini saya akan membawa aspirasi dan suara rakyat ke Parlimen.

“Apa yang kita (PH) cuba buat ialah menjadi wakil rakyat yang baik dan saya rasa dengan kesihatan yang ada, cukup satu penggal untuk saya memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan pengundi di Pasir Puteh,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net, semalam.

Pengerusi Harapan Kelantan itu berkata, beliau akan menjadi wakil rakyat yang akan mewakili penduduk di Pasir Puteh, dan bukan hanya menjadi wakil kerajaan dan parti sahaja.

“Saya perhatikan ramai yang bergelar wakil rakyat tetapi sebenarnya dia adalah wakil kerajaan di Parlimen. Dia lebih banyak mempertahankan kerajaan dan membenarkan serta mencari jalan kesahihan kepada tindakan kerajaan.

“Bukan jadi wakil rakyat yang membawa suara dan isi hati rakyat kepada kerajaan,” katanya.

Malah Kamarudin berjanji, sekiranya diberi kepercayaan dan mandat, beliau akan menjadi wakil kepada rakyat Pasir Puteh dan bukan hanya berat sebelah kepada ahli Pakata Harapan sahaja.

“Saya akan jadi wakil rakyat kepada ahli PAS dan UMNO juga. Itu konsep saya. Walaupun sekarang berlaku sesetengah orang, namanya wakil rakyat tetapi jadi wakil parti saja. Orang luar daripada parti tidak dapat apa-apa khidmat.

“Itu salah dan tidak adil. Kerana kita tidak tahu mungkin ahli parti kita tak undi kita pun. Mungkin orang dari parti lain atau tidak berparti yang memilih kita,” katanya.

Kamarudin bakal bertanding tiga penjuru bertemu dengan dua lagi pencabarnya pada PRU14 kali ini iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (BN) dan Datuk Dr Nik Zawawi Salleh (PAS).


No comments: