KUCHING: Kehadiran 'Najib' dan 'Mahathir' menarik perhatian ketika
kedua-duanya menghadiri proses pengundian awal di Pangkalan Pasukan
Polis Marin (PPM) Sarawak di sini, hari ini.
Bagaimanapun, mereka bukanlah tokoh politik yang menjadi tumpuan
menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), 9 Mei ini, sebaliknya
anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di negeri ini.
Berasal dari Semenanjung, kedua-duanya mencuri tumpuan kerana secara kebetulan mengundi di pusat pengundian yang sama.
Mahathir yang enggan nama penuhnya disiarkan, berkata kehadirannya
bersama rakan setugasnya itu hanya untuk menunaikan hak memilih
masing-masing, malah tidak menyangka sama sekali mereka menjadi tumpuan.
"Ini memang di luar jangka, kebetulan nama kami sama dengan dua tokoh
pemimpin berkenaan yang kini menjadi tumpuan di seluruh negara menjelang
PRU-14.
"Memang tidak kami sangka, tag nama kami menarik perhatian dan menjadi
viral di laman sosial, termasuk pihak media sendiri," katanya dipetik BH
Online hari ini.
Dua anggota polis berkenaan sebahagian daripada 24,545 pemilih
berdaftar yang terbabit dalam pengundian awal di 57 pusat pengundian
merangkumi 79 saluran pengundian di Sarawak.
Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sarawak, Datuk Takun Sunggah
memaklumkan kebanyakan pemilih yang terbabit dalam proses pengundian
awal itu adalah anggota pasukan keselamatan bersama pasangan
masing-masing yang bermastautin di negeri ini.
Katanya, ada antara pegawai dan anggota berkenaan terbabit dalam
penugasan kawalan keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang proses
pengundian berlangsung pada 9 Mei ini.
"Keseluruhannya, proses pengundian awal membabitkan pegawai dan anggota
tentera serta polis di seluruh negeri berjalan lancar sejak proses
pengundian dibuka seawal jam 8 pagi tadi," katanya.
No comments:
Post a Comment