Sunday, May 6, 2018

'Kain rentang hina polis di Shah Alam bersifat provokasi'

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Polis Selangor sedang mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menggantung 2 kain rentang tertera ayat menghina pasukan keselamatan tersebut, awal hari ini.
 
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menyifatkan dua kain rentang yang digantung di jalan masuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Seksyen 8, bersifat provokasi dan boleh mencetuskan sentimen kebencian terhadap polis.
 
“Kami mengesyaki kedua-dua kain rentang itu dinaikkan pihak tidak bertanggungjawab sama ada tengah malam tadi atau awal pagi ini, iaitu semasa keadaan masih gelap. Bagaimanapun, polis sudah menurunkan kain rentang berkenaan serta-merta.
 
“Saya tak tahu apa matlamat mereka, tapi ini perbuatan jenayah dan polis akan kesan siapa yang terlibat kerana kerap kali amaran dikeluarkan supaya jangan usik isu yang boleh mencetuskan sentimen serta provokasi,” katanya selepas mengundi di pusat pengundian Dewan Utama IPK Selangor, hari ini.
 
Beliau berkata, kes itu disiasat menurut Seksyen 505(a) Kanun Keseksaan.
 
Kedua-dua kain rentang itu memaparkan wajah calon PKR bagi kerusi Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dengan perkataan “Polis Malaysia Anjing” dan “Polis Anjing Kepada Kerajaan”.
 
Mazlan berkata, sejak kempen pilihan raya umum ke-14 bermula 8 hari lalu, pihaknya menerima 103 laporan polis berkaitan kes membakar, menurunkan, menconteng dan membaling cat merah ke atas poster calon pelbagai parti, selain kes memfitnah parti.
 
Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan berkaitan kes-kes terbabit setakat ini.
 
Mazlan menasihatkan orang ramai tidak mudah terpengaruh sebarang maklumat tidak sahih, khususnya isu lama yang disebarkan semula kerana dikhuatiri boleh mengganggu ketenteraman awam.
 
Khalid ketika melakukan tinjauan di pusat pengundian IPK Selangor menyifatkan tindakan pihak tertentu menggantung kain rentang tersebut sebagai “politik jahat”.
 
Selain Khalid, turut meninjau proses pengundian awal di Dewan Utama IPK Selangor ialah calon PAS DUN Kota Anggerik, Ahmad Dusuki Abdul Rani dan calon PKR kerusi sama, Najwan Halimi serta calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Datuk Azhari Shaari.
 
Mengulas isu sama, Azhari berkata, tindakan tidak bertanggungjawab serta provokasi itu umpama mahu memburukkan BN dan beliau menggesa polis mengambil tindakan terhadap pihak terlibat.
 
Proses pengundian awal hari ini melibatkan 17,852 pegawai, anggota dan pesara polis kontinjen Selangor.
 
Mazlan berkata, seramai 614 anggota dan pegawai di seluruh negeri mengundi semalam sebagai pengundi pos dan beliau berharap kontinjen Selangor akan merekodkan 100% hadir mengundi.
 
 

No comments: