PROLOG
Tidak boleh melelapkan mata malam ini.
Teringatkan arwah bonda dan ayahanda. Semoga keduanya dilimpahi lautan
rahmat Allah S.W.T yang tidak bertepi.
Pengenalan
Strategi yang diputuskan oleh PAN
Kelantan ialah memastikan salah seorang anak al-Marhum TG Nik Abdul Aziz
bertanding menentang PAS.
Jika ia dapat dilaksanakan, ia dapat
membuktikan sokongan keluarga TG Nik Abdul Aziz menyokong PAN dan PH. Ia
juga dapat menunjukkan PAS selepas era TG Nik Abdul Aziz memang telah
berubah. Ini dapat menarik sebahagian besar pengundi PAS untuk beralih
mengundi PH.
Kejayaan awal strategi ini
Strategi ini nampak berkesan. Nik Omar
menjadi popular secara luar biasa dalam 72 jam yang terakhir ini. PAN
Kelantan dilihat mampu melaksanakan strategi yang kelihatan seperti Mission Impossible.
PH mendapat kekuatan tambahan dengan Nik
Omar. Kekuatan keluarga DS Anwar telah dilihat tepu. Pergaduhan DS
Azmin dan Rafizi Invoke perlu ditenggelamkan.
PH berjaya mendapat pemangkin untuk melebarkan pengaruhnya. Nik Omar diangkat menjadi ikon perjuangan TG Nik Abdul Aziz.
Menggabungkan Nik Omar dengan Tun
Mahathir adalah seperti kejayaan menggabungkan TG Nik Abdul Aziz sendiri
dengan Tun Mahathir di atas satu pentas politik.
Hasil sebenar strategi ini
Strategi ini telah berjaya
memporak-perandakan keluarga al-Marhum TG Nik Abdul Aziz. Sampai
adik-beradik berentap sesama sendiri. Sampai anak melawan bondanya.
Sampaikan bonda terpaksa turun berkempen menentang anaknya sendiri di
Dun Chempaka.
Nik Omar pula telah memanggil Tun
Mahathir sebagai "Ayahanda". Seumpama menagih kasih daripada "Ayahanda"
yang baru. Bagaikan sudah terlupa ayahandanya yang baru pergi.
Mungkin selepas ini, Nik Omar akan terjumpa "Bonda" baru pula. Bonda lama, mungkin tidak sporting.
Tidak memahami aspirasi rakyat Kelantan. Tidak memahami kehendak Nik
Omar untuk memajukan Kelantan di atas nama PH dan PAN. Hampir menitis
air mata ketika menulis bait-bait ini.
PAN dan PH bersorak ria
Daripada aspek taktikal, PAN Kelantan telah berjaya. Kejayaan yang boleh diraikan.
Namun daripada aspek mempromosikan
akhlak dan nilai kekeluargaan, PAN Kelantan dilihat merudum teruk. Ia
sanggup berbuat apa saja untuk menang.
Siapalah yang sampai sanggup menentang
ibunya sendiri demi menjayakan sebuah strategi pilihan raya? Anda
sanggup? Saya tak sanggup. Namun PAN berjaya mencari yang sanggup.
Derita menentang bonda sendiri
Carilah orang lain untuk bertembung
dengan bonda saya. Saya tentulah tidak sanggup dan tidak mampu
bertembung seperti ini dengan bonda sendiri. Apatah lagi, ini bukanlah
medan pertembungan iman melawan kufur. Bukan perang antara dua agama
seperti kata Nik Omar.
Jika saya, saya akan tarik diri. Saya
akan menyerah kalah. Saya tidak sanggup menjadi bidak catur orang lain
sampai melukakan hati bonda sendiri. Sampai gugur air matanya.
Saya lebih rela dituduh penakut. Dituduh macam-macam. Saya sanggup memujuk bonda. Tapi takkan sampai sanggup menentang bonda.
Penutup
Saya yakin parti saya akan memahami.
Parti akan cari orang lain. Parti akan sanggup berkorban demi memelihara
hubungan ibu dan anak. Tapi parti PAN, nampaknya tidak begitu. HARAKAHDAILY
No comments:
Post a Comment