Sunday, May 6, 2018

Rangkuman hari ke-8: Faktor 3 veteran, memori Dr M di pusara Fadzil Noor

MALAYSIAKINI

   

RANGKUMAN | Empat hari menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, Umno mengumumkan pemecatan bekas menteri kanan Tan Sri Rafidah Aziz dan Tun Daim Zainuddin dari Umno.

Perkara itu seperti sudah dijangkakan ramai pihak setelah kedua-dua bekas menteri itu bukan saja mengeluarkan kenyataan mengkritik kerajaan, malah tampil di pentas program pilihan raya dan berkempen untuk Pakatan Harapan (HARAPAN)

Seorang lagi yang pada mulanya turut dikatakan dipecat adalah Tan Sri Rais Yatim. Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor kemudian tampil menjelaskan bahawa Rais belum dipecat tapi kini sedang dalam "siasatan".

Seperti Daim dan Rafidah, Rais sering melontarkan kritikan terhadap dasar-dasar kerajaan. Veteran Umno itu dijadualkan muncul di pentas HARAPAN di Jempol pada 8 Mei ini.

Sejarawan Khoo Kay Kim yang menghadiri program HARAPAN di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur malam ini menyifatkan penyertaan ketiga-tiga bekas menteri itu membuatkan keputusan PRU semakin sukar diramal.

Dr M lawat pusara Fadzil Noor

Selain itu, kunjungan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad ke pusara bekas presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Noor turut merupakan sorotan utama hari ke-8 kempen PRU ini.

Dr Mahathir ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, pemimpin AMANAH termasuk naib presidennya, Datuk Mahfuz Omar serta anak lelaki Fadzil yang juga calon HARAPAN bagi DUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Bercakap kepada media, Faiz berkata ia adalah sesuatu yang "diidam-idamkan" mereka sekeluarga kerana melambangkan kesedaran di pihak bekas perdana menteri berkenaan.

Dr Mahathir pula, yang mengaku hanya pernah sepentas sekali dengan Allahyarham semasa menjadi seteru politik, menceritakan bagaimana Fadzil pernah menjadi penasihat agama beliau, iaitu ketika tokoh terbabit belum aktif dalam politik.

Di media sosial pula, salah seorang anak mangsa tragedi Memali yang terkorban, Mohamad Zuhdi Mat Piah yang diapit dua anak Allahyarham Ibrahim Libya, iaitu Muhd Islah Ibrahim dan Nurul Syuhada Ibrahim tampil menolak permohonan maaf Dr Mahathir.

Menurut mereka, permohonan maaf Dr Mahathir semalam tidak jujur dan gagal memenuhi syarat taubat.

HARAPAN didakwa 'import' penyokong

Sementara pengundian awal bagi anggota keselamatan dibuka hari ini, parti politik terus memanfaatkan masa yang ada sebaik mungkin dengan ceramah dan program politik.

Pemimpin BN termasuk pengerusinya Datuk Seri Najib Razak dan pengerusi BN Johor Datuk Seri Khalid Nordin tertarik mengulas kehadiran orang ramai dalam program HARAPAN.

Kedua-dua pemimpin BN itu menafikan kehadiran orang ramai dalam program HARAPAN dan menyifatkan kehadiran itu bukanlah terdiri daripada penduduk tempatan.

Najib malah mendakwa, HARAPAN menggunakan bas untuk membawa orang luar menghadiri program mereka.

Dua program HARAPAN yang dilihat menarik kehadiran orang ramai adalah di Bukit Katil Melaka semalam yang menampilkan Daim dan Rafidah sementara dua hari lepas di Putrajaya menggabungkan anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz dan Dr Mahathir.

Azhar Idrus di pentas PAS

PAS tidak ketinggalan membuat penampilan tokoh dalam kempennya. Penceramah terkenal, Azhar Idrus hari ini membuat kemunculan dalam siri kempen PAS di Kuala Terengganu dan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap PAS.

Penceramah bertaraf selebriti itu menyifatkan PAS sebagai parti Islam terbaik dan harus menjadi ikutan semua. Menurut Azhar, ia terbukti apabila golongan artis, pemuzik dan bekas penyokong BN sendiri menyatakan rasa kesal kerana selama ini tidak memilih PAS.

Terdahulu, Pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Dr Johari Mat pada sidang media di Kota Bharu memberi analogi solat dua imam berhubung pertembungan wakil AMANAH Nik Omar dan PAS.

Beliau memberikan analogi solat berjemaah dalam sebuah masjid, di mana individu yang datang kemudian dilarang membuat jemaah baru pada waktu yang sama.

Tambah beliau, PAS memperjuangkan Islam, maka tidak sepatutnya ada parti Islam lain menyaingi PAS. Johari juga mengibaratkan Nik Omar sedang menaiki bas tanpa hala tuju yang jelas.

Calon cuba jadi kreatif

Selain itu, beberapa calon dilihat cuba menjadi kreatif dalam kempen mereka. Beberapa calon BN di Negeri Sembilan naik ke pentas 'Konsert Demokrasi' dan menyanyikan lagu motivasi bertemakan harapan mereka dalam PRU 9 Mei ini.

Antara yang cuba menunjukkan bakat menyanyi adalah Chong Sin Woon (Seremban), Ng Kian Nam (Rasah), Yap Siok Moy (Rahang), Ho Choy Shin (Mambau), dan Mah Kah Keong (Bukit Kepayang).

Sementara itu, di Pulau Pinang, calon parlimen HARAPAN bagi parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dan DUN Machang Bubuk Lee Khai Loon mengapit chef selebriti Redzuawan Ismail atau dikenali sebagai Chef Wan dalam program memasak.

Bagaimanapun, Chef Wan yang dipetik akhbar sebagai berkata, dia berkempen untuk keadilan dan bukannya HARAPAN.

Berbaki tiga hari saja lagi tempoh berkempen, HARAPAN dilihat mempunyai peluang untuk membuat kejutan. Namun dalam masa sama, jentera kempen BN dilihat optimis mempertahankan Putrajaya.


No comments: