PRU14 | Perdana menteri sementara dan pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dijadual menyampaikan amanat beliau menerusi siaran langsung di TV3 malam esok, sehari sebelum hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa semua rakyat Malaysia dan anggota parti komponen BN bersama-sama menyaksikan ucapan tersebut yang akan disiarakan pada jam 10 malam.
Pada masa yang sama, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan akan turut menyampaikan amanatnya kepada rakyat Malaysia.
Bekas perdana menteri itu dijadual berucap di Langkawi dan ucapannya akan disiarkan secara langsung menerusi media sosial.
Di pihak BN, Tengku Adnan berkata pengerusi-pengerusi BN negeri akan menyampaikan ucapan bersama sejam sebelum Najib memulakan amanatnya.
Beliau juga menggesa semua daerah mengundi BN di seluruh negara mengadakan solat hajat supaya kemenangan berpihak kepada parti itu.
Menegaskan BN mempertahankan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, Tengku Adnan berkata manifesto gabungan itu mengandungi janji yang realistik dan mampu dicapai.
Sementara itu, di pihak HARAPAN, Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mensasarkan ucapan Mahathir ditonton 10 juta pengundi di seluruh negara menerusi siaran secara langsung di Facebook.
Pada masa sama katanya, HARAPAN akan mengadakan ceramah di semua 222 kerusi parlimen.
"Pada pukul 10 malam, semua ceramah akan dihentikan untuk memberi laluan kepada amanat khas Mahathir," katanya.
Sementara itu, sebuah konsert mega juga akan diadakan di Langkawi malam esok, pada masa Mahathir akan menyampaikan ucapannya.
Konsert berkenaan dianjurkan bersama oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan Kementerian Kewangan.
Konsert Langkawi Hebat itu akan menampilkan artis tempatan seperti Ramli Sarip, DJ Dave, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow dan lain-lain.
Selain pertunjukan bunga api, konsert itu juga akan menampilkan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik seperti motosikal, telefon pintar dan set Playstation.
No comments:
Post a Comment