Penyanyi terkenal Datuk Awie berharap orang ramai tidak memandang serong artis yang memenuhi jemputan terutama daripada parti politik untuk mengadakan persembahan sepanjang kempen PRU ke-14.
Awie, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, berkata tawaran persembahan adalah sumber rezeki untuk kelangsungan hidup mereka.
“Siapa yang panggil, saya akan pergi kerana saya cari makan. Begitu juga dengan artis lain yang dapat tawaran.
“Ia bukan masalah kerana kami cari makan dengan menyanyi,” katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.
Bagaimanapun vokalis kumpulan Wings itu mengakui tawaran kali ini jauh berkurangan jika dibandingkan dengan PRU ke-13.
"Keadaan agak genting kepada kerajaan sehingga membuatkan mereka tidak mahu mengeluarkan kos untuk perkara yang bukan-bukan dan terpaksa menggunakan strategi lain,” katanya.
Sebelum ini,penyertaan pelakon Fattah Amin dan Adi Putra dalam program BN dikecam sesetengah orang. Namun tidak dapat dipastikan sama ada kehadiran mereka atas undangan atau secara sukarela.
Pada malam esok pula, beberapa jam sebelum rakyat keluar mengundi, satu konsert besar diadakan di Langkawi.
Ia dijalankan pada masa sama program ceramah Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding di Parlimen itu.
Konsert percuma itu anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Kementerian Kewangan Malaysia dan menampilkan artis terkenal seperti Datuk Ramli Sarip, Dayang Nurfaizah, Joe Flizzow dan Syamel.
Bercerita soal politik, penyanyi lagu Opera Hidup itu berkata dia sendiri pernah ditawarkan jawatan dalam parti politik.
Namun dia menolaknya selepas menimbangkan rakan-rakannya dalam Wings serta dibantah bapanya sendiri.
"Kamu penyanyi dan pelakon serta diminati semua kelompok masyarakat. Buat apa kamu cari musuh?
"Kata-kata bapa itu buat saya tersedar dan akhirnya buat keputusan tidak perlu menceburi politik," katanya lagi seperti dipetik.
No comments:
Post a Comment