Saturday, May 5, 2018

3 isu penting di Sri Gading: Banjir, bah dan air naik

 
Penduduk mengeluh barang rumah musnah kerana sering banjir. BN kata keadaan terurus, PH mahu buktikan ia boleh selesai.


Antara tempat di Sri Gading yang sering banjir apabila hujan lebat.

SRI GADING: Isu yang paling dekat di hati rakyat di Parlimen Sri Gading nampaknya masalah banjir dan pengurusan sistem perparitan yang meragukan.

Kunjungan FMT di lapangan juga mendapati di sesetengah tempat seperti tepian jalan raya atau bangunan digenangi air.

Calon-calon pilihan raya berkata sebahagian kawasan Parlimen Sri Gading di tanah rendah, menyebabkan ia mudah dinaiki air terutama selepas hujan lebat.

Rata-rata penduduk yang ditemui pula memberitahu masalah banjir menghantui mereka sejak bertahun-tahun.

“Awak tahu tuan punya rumah seksanya macam mana?” kata Huzaimi Rashid, 38, seorang penduduk Kampung Sengkuang.

“Bila banjir kalau awak boleh kemas rumah 100% tidak kena air. Balik kerja jam 5.00 petang rumah sudah naik air. Apa yang ada semua hancur. Perabut sekarang kalau kena air sekejap je rosak.”

Kampung Sri Gading. BN mempertahankan Parlimen Sri Gading dengan majoriti selesa sejak 1999.

Beliau berkata selain Kampung Sengkuang, Kampung Baru, Tanjung dan Pasir Panjang juga kerap dinaiki air. Di Kampung Pasir berhampiran Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), air biasanya naik sampai ke paras lutut.

“Macam rumah saya paras bawah buku lali,” kata Huzaimi. Beliau berkata Sri Gading menyaksikan pembangunan tetapi perancangannya perlu dipersoalkan.

“Kalau jalannya betul, ada pembangunan tidak apa. Ini bina kawasan taman dengan tanah tinggi dan bila banjir air masuk ke kawasan tanah rendah seperti rumah kampung.”

Huzaimi pernah mengajukan masalah banjir kepada Ahli Parlimen Datuk Ab Aziz Kaprawi tahun
 lalu. Pemimpin Barisan Nasional ini akan mempertahankan kerusinya tahun ini.

“Aziz kata setahun sekali korek. Tetapi saya lihat 3 atau 4 tahun sekali korek. Nak kena ketuk baru gerak. Tiba masa nak buat macam pilihan raya masa itu baru datang hantar bantuan,” katanya.

Satu dunia berlaku banjir

FMT menemui Ab Aziz untuk mendengar pandangannya tentang penemuan ini. Beliau berkata di Sri Gading “semuanya dapat diurus dengan baik”.

“Masalah perparitan kita sudah tentu diurus dengan baik dan memang mana-mana tempat yang kawasan rendah jika berlaku hujan berterusan akan banjir. Banjir ini bukan di Sri Gading sahaja tetapi satu negeri,” katanya.

“Banjir ini satu fenomena dan satu dunia berlaku, dan di Sri Gading hanya tempat-tempat tertentu kawasannya rendah.”

Air bertakung di Stesen Penguatkuasa JPJ Sri Gading.

Ab Aziz menang pada PRU13 dengan majoriti undi yang selesa, 5,761 undi. Beliau meneruskan penguasaan BN daripada Tan Sri Mohamad Aziz, yang menyandang kerusi itu dari 1999 hingga 2008.

Calon Pakatan Harapan pula mengakui keluhan penduduk dan berkata kajian mendapati 80% kawasan di Sri Gading terletak di kawasan tanah rendah.

Shahrudin Md Salleh.

Datuk Shahrudin Md Salleh percaya kerajaan Pakatan Harapan boleh menyelesaikan masalah “sistem perparitan paling buruk dan tidak diurus dengan baik” di Sri Gading.

“Kita minta pengundi beri sokongan. Jika jadi kerajaan, kita akan selesaikan,” kata setiausaha agung PPBM itu.

Namun begitu, beliau berkata semua pengundi di Johor perlu menunjukkan kebersamaan dan persaudaraan dengan penduduk Sri Gading.

“Kalau kita hanya menang di Sri Gading tetapi kerajaan masih di bawah BN susah kita nak selesaikan masalah disebabkan peruntukan hanya akan diberikan oleh kerajaan,” katanya.

“Buat apa nak buat projek kereta api laju jika tidak tahu menyelesaikan masalah rakyat?” tambahnya,

merujuk kepada projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dikatakan akan melalui Parlimen ini.

No comments: