KUALA LUMPUR: Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa tidak
mengalami sebarang kecederaan serius selepas terbabit dalam kemalangan
pada final keirin di siri kedua Piala Dunia yang berlangsung di
Manchester, awal pagi tadi.
Namun, malang buat Fatehah apabila komisar perlumbaan membatalkan
penyertaannya dan mendakwa menjadi punca insiden kemalangan yang
menyebabkan pelumba Australia, Stephanie Morton dan Simona Krupeckaite
dari Lithuania turut terjatuh ketika saingan hanya berbaki 200 meter.
Keputusan itu menyebabkan tiada sebarang mata dipungut Fatehah di Manchester kerana penyertaannya dianggap batal.
Bagaimanapun rakaman video menunjukkan, Stephanie terlebih dulu
berlanggar dengan pelumba Jerman, Kristina Vogel dan terjatuh di hadapan
Fatehah yang tidak sempat mengelak lalu terus melanggarnya.
Kristina memenangi perlumbaan akhir berkenaan dengan dua pelumba
Belanda, Shanne Braspennincx dan Laurine van Riessen meraih tempat kedua
dan ketiga.
Pasukan negara kendalian John Beasley difahamkan akan mengemukakan
rayuan untuk sekurang-kurangnya Fatehah hanya dikenakan tindakan
"relegation" bagi membolehkan dia meraih mata pada kedudukan terakhir
(keenam).
"Amat kecewa kerana sudah mengharungi perjalanan yang jauh dan berjaya
mara sehingga ke final. Saya yakin ia bukan salah saya dan saya tidak
berpuas hati.
"Saya harap apabila jurulatih (Beasley) cuba merayu sekali lagi esok,
pihak komisar dapat mengubah fikiran dan sekurang-kurangnya memberikan
saya "relegation" untuk sekurang-kurangnya mendapat mata," kata Fatehah.
Selepas terjatuh, pelumba CIMB Pro Cycling Team berkenaan bangkit untuk
menamatkan perlumbaan. "Saya hanya mengalami sedikit luka. Saya yakin
sekurang-kurangnya akan menaiki podium jika tidak berlaku insiden itu,"
tambahnya.
Rakan sepasukannya, Azizulhasni turut kemalangan semasa acara keirin siri pertama Piala Dunia di Poland pada minggu lalu.
No comments:
Post a Comment