BATU PAHAT: Tumpahan sebanyak 14,000 liter diesel selepas sebuah lori
tangki minyak terbabas dan terbalik di Kilometer 111.1 Lebuhraya
Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Yong Peng, dekat sini,
menyebabkan kesesakan lebih lima jam, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.54 malam itu, lori tangki minyak yang
membawa 32,000 liter produk petroleum itu terbabas sebelum terbalik
merentang laluan lebuhraya berkenaan.
Pemandu dan kelindan lori tangki minyak itu yang cedera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat untuk rawatan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Hitam, Mohd Asroy
Mohd Yahya, berkata operasi menyelamat dijalankan membabitkan seramai
14 anggota bomba serta lima jentera termasuk tangki air dari Balai Bomba
dan Penyelamat Yong Peng, Ayer Hitam, Penggaram, Kluang dan Johor
Bahru.
"Pihak bomba terpaksa menutup laluan di kedua-duanya dua arah selama
lebih lima jam berikutan bimbang berlaku kebakaran atau letupan susulan
lori tangki minyak itu terbalik menyebabkan sebanyak 14,000 liter
petroleum tumpah di atas lebuhraya berkenaan.
"Pasukan bomba dan penyelamat juga bertungkus lumus melakukan
pemindahan baki produk petroleum itu ke lori baharu selain kerja
pembersihan tumpahan sebelum membenarkan laluan bersebelahan menghala ke
utara dibuka sebagai laluan kontra kira-kira jam 4.30 pagi tadi
berikutan berlaku kes kecemasan ambulans membawa wanita yang mahu
melahirkan anak.
"Kerja pemindahan baki produk petroleum, pembersihan tumpahan serta
pengalihan lori tangki minyak yang merentang lebuhraya itu selesai tujuh
jam kemudian kira-kira jam 7.15 pagi tadi, " katanya ketika dihubungi.
No comments:
Post a Comment