Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sendiri bertindak
melanggar peruntukan perlembagaan parti itu apabila menubuhkan Armada.
Perkara itu ditegaskan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Surayati Ibrahim di sidang media, petang tadi.
“Mana-mana pertubuhan yang didaftarkan di Malaysia termasuk parti
politik umumnya dan PPBM khasnya dibuat oleh mereka sendiri dan
dikemukakan kepada RoS untuk kelulusan.
“Setelah diluluskan adalah menjadi tanggungjawab kepimpinan pertubuhan itu mengendalikan urus tadbir dengan baik.
“Dalam hal ini PPBM sendiri yang melanggar perlembagaan parti iaitu
membenarkan sayap pemuda yang dinamakan Armada beroperasi sedangkan
belum mendapat kelulusan pindaan perlembagaan dan belum mengadakan
Perhimpunan Agung Tahunan,” katanya.
Surayati menegaskan krisis membabitkan Armada ini adalah sesuatu yang serius kerana tidak menghormati Akta Pertubuhan.
Ia sejajar dengan Perlembagaan PPBM Fasal 28 mengenai Pindaan
Perlembagaan yang menyebut sebarang pindaan ke atas perlembagaan parti
perlu dipersetujui tidak kurang dari 2/3 perwakilan yang hadir ke
mesyuarat agung tahunan atau perhimpunan agung khas.
“Pucuk pimpinan PPBM perlu tahu bahawa perlembagaan parti dan juga
undang-undang berkaitan pertubuhan adalah sesuatu yang amat serius.
“Ini pernah terjadi pada tahun 1988 apabila Umno diharamkan kerana
melanggar perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan,” kata Surayati.
Sementara itu RoS memberitahu seramai 33 ahli Armada PPBM membuat
laporan kepada jabatan itu setelah konflik sayap itu dimulakan dengan
pemecatan beberapa ahli exconya.
Surayati dalam masa yang sama mengingatkan semua pihak termasuk pucuk
pimpinan PPBM untuk tidak menuduh RoS sengaja mensensasikan konflik
dalaman parti itu.
“Sebelum membuat sebarang tuduhan atau tohmahan ke atas tindakan RoS,
sila baca perlembagaan rasmi PPBM yang didaftarkan dengan RoS.
“Sekiranya tuduhan ini terus berlaku saya tidak akan teragak-agak untuk
mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak yang terlibat,”
tegasnya.
No comments:
Post a Comment