SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun
Dr Mahathir Mohamad bukan individu yang merosakkan fikiran orang Melayu
walaupun didakwa bukan daripada keturunan bangsa itu.
Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul
Hadi mendakwa, sebaliknya dasar Umno yang membela Melayu tertentu dan
menzalimi bangsa berkenaan kerana beraliran politik dengannya adalah
punca kepada kerosakan tersebut.
“Walaupun Mahathir telah meninggalkan
Umno, Melayu tetap rosak jika meneruskan agenda-agenda yang salah dan
bercanggah dengan Islam. Pas tidak menentang individu tetapi sebuah
parti yang mahukan perubahan dasar dan polisi untuk kepentingan agama,
bangsa dan negara.
“Justeru, kami menyeru kepada bangsa
Melayu supaya kembali kepada Islam sebagai penyelesaian. Bukan
penyelesaian cara Umno yang menggula-gulakan bangsa Melayu dengan
janji-janji manis kebendaan setiap kali tibanya musim pilihan raya,”
katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kemuliaan orang Melayu adalah dengan agama Islam dan bukannya dengan zat bangsanya.
“Inilah beza perjuangan berasaskan Islam
dan perjuangan berasaskan perkauman sempit. Umno yang memperjuangkan
kebangsaan Melayu hanya pada kulitnya sahaja, bukan pada roh serta jati
dirinya.
“Di mana kedudukan tulisan jawi menjadi
jati diri kepada bahasa Melayu dimansuhkan oleh bangsanya sendiri. Di
manakah kedudukan tanah rizab Melayu setelah ia digadaikan oleh bangsa
sendiri. Di manakan kedudukan politik Melayu Islam setelah
pemimpin-pemimpinnya hanya mementingkan kroni dan orang sekelilingnya?”
soalnya.
No comments:
Post a Comment