Friday, August 25, 2017

TH peka risiko ancaman keselamatan jemaah Haji

 BERNAMA




Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa peka berhubung risiko ancaman keselamatan terhadap jemaah haji terutamanya membabitkan kemalangan, kecurian harta benda, wabak penyakit, bencana alam dan rusuhan.

Penyelaras Risiko Haji 1438 Hijrah Badrul Hisham Mohd Salleh berkata kelima-lima insiden itu disifatkan sebagai ancaman keselamatan yang pernah berlaku di Tanah Suci.

Justeru, katanya TH akan terus mengguna pakai Pelan Pengurusan Bencana Di Tanah Suci, yang dibangunkan sejak beberapa tahun lepas, sekiranya situasi tidak diingini itu berlaku bagi memastikan kelancaran operasi haji.

"Kita sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap pelan ini supaya dapat membantu operasi haji. Misalnya, pernah ada kecurian dan rusuhan...infrastruktur pun pernah berlaku seperti tragedi kren tumbang.

"Maka, kita menfokuskan kepada risiko-risiko tersebut untuk menyusun pelan tindakan dan kaedah menanganinya jika berlaku lagi," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Tabung Haji di Hotel Abraj Al-Janadriyah di sini.

Badrul Hisham berkata pelan itu mula dibina pada 2012 dan diguna pakai sepenuhnya pada 2013, dan sehingga kini, sudah empat kali dibuat semakan.

Pelan tersebut mengandungi semua prosedur yang perlu dilakukan petugas sekiranya berlaku sesuatu insiden tidak diingini.

"Kesemua tindakan melibatkan pemindahan jemaah di maktab, hospital, semasa masyair dan di kawasan terbuka yang ada kaitan dengan infrastruktur, rusuhan serta alam sekitar telah dinyatakan kaedahnya dalam buku pelan berkenaan.

"Paling penting, semua petugas jangan panik dan ikut proses yang terkandung dalam pelan itu ketika menangani isu berkenaan jika berlaku. Selagi mana melibatkan nyawa, ia perlu ditangani dengan segera," katanya.

Beliau berkata TH sudah mempunyai pengalaman dalam menangani situasi itu dan risalah Panduan Keselamatan Jemaah Haji di Tanah Suci juga telah diedarkan kepada jemaah.

"Dalam risalah itu juga dinyatakan lima jenis ancaman keselamatan dan langkah perlu diambil sekiranya berlaku. Kesemua petugas juga telah dilengkapkan dengan pengetahuan dalam menggerakkan pelan tindakan kecemasan jika diaktifkan," katanya.

Badrul Hisham berkata jika sesuatu insiden itu berlaku, semua pengurus maktab
penginapan dan petugas akan secara automatik bertindak sebagai anggota pasukan tindakan kecemasan yang dibahagikan kepada dua kumpulan.

Katanya kumpulan pertama yang melibatkan anggota perubatan dan kebajikan akan memastikan semua jemaah di maktab penginapan dibawa keluar ke kawasan selamat, manakala pasukan kedua akan membuat pengiraan dan mengenal pasti bilangan jemaah cukup atau sebaliknya.

Jika situasi mendesak, jemaah haji akan dibawa keluar ke tempat penempatan sementara atau diterbangkan pulang ke tanah air, katanya

No comments: