Friday, August 25, 2017

Terpalit Rasuah, Khalid Kecewa Pentadbiran Selangor





Bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kecewa setelah mendapat tahu pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor masih berurus niaga dengan syarikat yang telah ditamatkan kontrak.

Khalid berkata syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) telah ditamatkan kontrak berurus niaga dengan Universiti Selangor (UNISEL) pada zaman pemerintahannya.

“Walaupun banyak tawaran telah dibuat, saya berpegang teguh bahawa UNISEL dan/atau Selangor tidak dapat menerima tuntutan-tuntutan JNSB termasuk tawaran untuk mengambilalih hutang bank Jana Niaga,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 22 Ogos lalu, SPRM menyerbu UNISEL, Jana Niaga dan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) berhubung pertikaian UNISEL dan Jana Niaga.

Jana Niaga merupakan syarikat yang memegang kontrak-kontrak untuk membina, menjalankan operasi, menyelenggara dan mengurus kemudahan penginapan pelajar dan kakitangan UNISEL.

Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, pada 2013 kontrak-kontrak dengan Jana Niaga ditamatkan akibat kemungkiran Jana Niaga namun syarikat itu mempertikaikan penamatan kontrak-kontrak tersebut.

“Adalah penting untuk diketahui bahawa sekitar Mac 2014, selepas Mahkamah rayuan menolak rayuan Jana Niaga ke atas kes penamatan kontrak syarikat itu oleh UNISEL, Jana Niaga telah membawa pertikaian kepada Jawatankuasa Penyelesaian Pertikaian (Dispute Resolution Committee) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Selangor,” katanya.

Khalid yang terkejut membaca laporan media tentang siasatan SPRM ke atas UNISEL menyatakan kesediaannya untuk beri kerjasama bagi membantu siasatan.

“Perkara ini telah sedikit sebanyak mencemarkan nama baik institusi-institusi kerajaan Selangor dan saya bersedia untuk memberi kerjasama kepada SPRM jika perlu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pada hari serbuan ke atas UNISEL dilakukan oleh SPRM, aktivis Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dilapor menyerahkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan isu bayaran kontrak UNISEL.

Bekas pemimpin PKR yang dipecat itu berkata dokumen tersebut merangkumi perjanjian Unisel dan Jana Niaga, surat-menyurat antara kedua-dua pihak, invois bayaran dan dokumen perundangan.

No comments: