SHAH ALAM: Proses peletakan jawatan kesemua wakil PKR dalam kerajaan
negeri Kelantan masih belum selesai ekoran 'sebab-sebab' tertentu.
Pengerusi PKR negeri, Abd Aziz Abd Kadir berkata, beliau tidak boleh
menjelaskan masalah atau sebab kenapa mereka masih tidak melepaskan
jawatan.
Walau bagaimanapun Abd Aziz berkata, proses itu sedang berjalan.
“Kita masih belum melepaskan jawatan (lantikan politik di Kelantan).
Proses tersebut sebenarnya masih berjalan. Kita ada sebab tertentu yang
tidak boleh saya jelaskan,” katanya dipetik Utusan Online.
Semalam Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
berkata kerajaan negeri masih belum menerima sebarang surat peletakan
jawatan daripada wakil PKR, biarpun Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail menyatakan ia akan diselesaikan akhir Julai.
Bagaimanapun kata Mohd Amar, kerajaan PAS Kelantan akan terus memberi
ruang kepada lantikan politik PKR di negeri itu memegang jawatan
masing-masing sekurang-kurangnya sehingga habis penggal pilihan raya.
Untuk rekod, pada 16 Mei lalu, Biro Politik PKR memutuskan supaya semua
lantikan politik partinya dalam kerajaan negeri pimpinan PAS itu
dilepaskan berkuatkuasa serta-merta, susulan keputusan PAS memutuskan
tahaluf siyasi antara mereka.
Pada 9 Jun lalu, Wan Azizah pula dilaporkan berkata, kelonggaran telah
diberikan dan PKR menjangkakan kesemua lantikan politik berkenaan
berbuat demikian menjelang akhir Julai.
No comments:
Post a Comment