Saturday, August 26, 2017

300,000 pekerja lebih berminat cari rezeki di Singapura

ISMA WEB
 



KUALA LUMPUR – Kira-kira 300,000 pekerja Malaysia tidak berminat untuk mencari rezeki di negara sendiri dan lebih memilih untuk bekerja di Singapura.

Menurut laporan akhbar China Press, punca utamanya adalah disebabkan perbezaan tukaran wang asing yang banyak.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pekerja dalam sektor perkhidmatan dikatakan antara golongan yang paling banyak bekerja di negara jiran itu, selain sektor pembinaan dan pembuatan.

“Ramai warganegara Malaysia tidak mahu pulang semula ke negara asal sendiri disebabkan faktor nilai wang tukaran asing.

“Selain diberi gaji lumayan, pekerja Malaysia berasakan mereka mempunyai peluang untuk mengembangkan karier di Singapura,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Muttalib bahawa kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa untuk menarik balik warga Malaysia yang masih bekerja di Singapura untuk kembali semula ke negara sendiri.

Kementerian Sumber Manusia baru-baru ini menganjurkan Kembara Kerjaya Train Ride 2.0 dengan 6,000 jawatan ditawarkan daripada lebih 100 majikan.

Sebanyak 1,500 kekosongan ditawarkan untuk lulusan diploma dan ijazah, sijil kemahiran (2,040) dan Sijil Pelajaran Malaysia ke bawah (2,460).


No comments: