JAGUH badminton perseorangan
negara, Datuk Lee Chong Wei tewas mengejut seawal pusingan kedua pada
Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2017 di Jakarta semalam.
Chong Wei yang juga pemain pilihan
pertama kejohanan tunduk kepada wakil India, H.S. Prannoy menerusi
straight set 21-10, 21-18 dalam tempoh 40 minit, sekali gus menyaksikan
impiannya untuk mempertahankan gelaran yang diraih pada tahun lalu
musnah.
Pada perlawanan yang berlangsung di
Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Chong Wei yang juga pemain No. 3 dunia
dilihat kurang bertenaga untuk menjinakkan corak permainan pantas
Prannoy sehingga menyebabkannya ketinggalan jauh pada set pertama
perlawanan.
Jurulatih perseorangan negara, Hendrawan
berkata, Chong Wei beraksi dengan perlahan sehingga memberi peluang
kepada pemain No. 25 dunia itu mendominasi set pertama dan kedua dengan
mudah.
“Kita harus akui Prannoy bermain dengan
cemerlang hari ini (semalam). Chong Wei pula beraksi perlahan sehingga
menyebabkan pihak lawan mudah mengawal aksi dalam gelanggang,
“Apabila kelajuan dan corak permainan
tidak ada, maka kesempatan untuk melancarkan serangan itu menjadi
minimum. Prannoy pula dilihat agresif untuk melancarkan serangan bertali
arus,” katanya.
Sebagai rekod, perlawanan yang
berlangsung itu adalah pertembungan kali ketiga buat kedua-dua pemain.
Sebelum ini Chong Wei tidak berdepan masalah untuk menumbangkan Prannoy
masing-masing pada Kejohanan Terbuka Denmark 2016 dan Terbuka India
2013.
Tahun lalu, Chong Wei menjadi pemain
ketiga dan pertama bukan dari Indonesia yang dinobatkan sebagai juara
sebanyak enam kali pada saingan Terbuka Indonesia selepas terdahulu dia
muncul juara pada 2007, 2009, 2010, 2011, 2013 dan 2016.
Berita tentang kemenangan Prannoy ke
atas Chong Wei menjadi topik hangat di media dalam talian di India
seperti News World India dan The Indian Express.
No comments:
Post a Comment