TULAR
komen seorang wanita pemilik akaun Facebook sejak semalam, apabila dia
mengatakan ibadah solat lima waktu yang dilakukan umat Islam adalah
amalan daripada agama Zoroaster atau Majusi.
Wanita ini
yang dipercayai berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur, turut
memuat naik pelbagai tulisan mengenai Islam, seperti hadis, solat, puasa
dan asal usul kaum wanita. Wanita ini yang popular di kalangan mereka
berfahaman liberal dan sekular di negara ini, juga menulis mengenai
solat Tarawih yang katanya “so joining terawih was more a social
activity”.
Komennya
yang mengatakan solat lima waktu berasal dari agama Zoroaster atau
Majusi diulas oleh Team R&D Multiracial Reverted Muslims (MRM).
Berikut adalah ulasan mereka:
Solat 5 Waktu Ciplak Dari Ibadat Majusi?
Saya
mendapat komen dari seorang wanita yang mengatakan ibadat solat lima
waktu sehari yang dilakukan oleh umat Islam adalah amalan dari ibadat
agama Zoroaster atau Majusi. Dia mengatakan:
“Kalau nak
tahu, sebenarnya solat 5 waktu adalah bukan dari hadis tapi dari ugama
Zoroastria. Iaitu ugama Persia. Ugama kelahiran Bukhari, Muslim
Termidzi”
Perlu
diteliti pemilihan katanya adalah dia tidak mendakwa Nabi menciplak
amalan ini dari agama Zoroaster seperti dakwaan Tom Holland dalam
bukunya The Shadow of The Sword yang mengatakan ibadat solat diciplak
dari Zoroaster.
Akan
tetapi wanita ini mengatakan amalan ini ia bukan dari Hadis. Setelah
itu, dia mengatakan amalan solat lima waktu ini berasal daripada agama
Zoroaster iaitu agama dari Parsi dan di situ tempat lahirnya ulama hadis
seperti Imam Bukhari, Muslim dan Tirmizi.
1) Dia tidak mengatakan secara terang bahawa nabi Muhammad menciplak amalan solat lima waktu ini dari Zoroaster.
2) Dia berfahaman bahawa solat pada zaman nabi dan sahabat bukan lima waktu seperti Sunni lakukan.
3) Di sini juga terdapat rona-rona yang bermaksud amalan solat lima waktu pada asalnya tidak ada pada zaman nabi tetapi digubah oleh ahli Hadis dari Parsi dengan mengaitkan nama imam Bukhari Muslim dan Tirmizi.
Pertama,
Imam Muslim, Bukhari dan Tirmizi tidak ada kaitan dengan agama Majusi.
Kedua pada zaman ahli hadis ini agama Majusi sudah merosot setelah Parsi
ditawan oleh Umar al Khattab. Ketiga, hujah ini banyak dimainkan oleh
golongan sesat yang fokus dalam Internat dikenali sebagai Islamic House
of Israel. Malah hujah sedemikian juga digunakan oleh golongan Syiah.
Jika masuk
ke dalam perbincangan antara solat lima waktu atau jama’ seperti amalan
Syiah biasanya akan menemui hujah sedemikian. Apabila mereka membahas
tentang pemisahan solat lima waktu di dalam Sunni, mereka akan
mengatakan nabi tidak pernah mengamalkan solat lima waktu kerana hal itu
direka oleh ulama hadis setelah nabi Muhammad SAW wafat.
Mereka
mengatakan pada zaman nabi, nabi hanya solat tiga waktu sahaja dan
perkara itulah mereka amalkan iaitu dengan menjamakkan solat sehingga
menjadi tiga waktu. Manakala golongan Islamic House of Israel pula
mereka sememangnya solat tiga waktu sahaja. Mereka membawa hujah amalan
solat lima waktu itu adalah amalan Majusi yang mana agama Majusi mereka
solat lima waktu dalam sehari. Dan amalan itu ditambah oleh ulama Hadis
Sunni.
Tidak Ada Dalilkah?
Mengenai
pensyariatan solat lima waktu ini terdapat banyak hadis dan juga disebut
di dalam al Quran. Di dalam hadis nabi menyebut:
أَرَأَيْتُمْ لَوْ أَنَّ نَهَرًا بِبَابِ أَحَدِكُمْ ، يَغْتَسِلُ فِيهِ كُلَّ يَوْمٍ خَمْسًا ، مَا تَقُولُ ذَلِكَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ » . قَالُوا لاَ يُبْقِى مِنْ دَرَنِهِ شَيْئًا . قَالَ « فَذَلِكَ مِثْلُ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسِ ، يَمْحُو اللَّهُ بِهَا الْخَطَايَا »
“Tahukah
kalian, seandainya ada sebuah sungai di dekat pintu salah seorang di
antara kalian, lalu ia mandi dari air sungai itu setiap hari lima kali,
apakah akan tersisa kotorannya walau sedikit?” Para sahabat menjawab,
“Tidak akan tersisa sedikit pun kotorannya.” Beliau berkata, “Maka
begitulah perumpamaan shalat lima waktu, dengannya Allah menghapuskan
dosa.” (HR. Bukhari no. 528 dan Muslim no. 667)
Dan
terdapat banyak lagi hadis yang menyebut solat lima waktu “الصَّلَوَاتِ
الْخَمْسِ “ seperti dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh imam Muslim
no. 233, no 668 dan Hadis riwayat Ahmad 2: 169. Nabi secara jelas
menyebut terdapatnya solat lima waktu. Manakala di dalam al Quran pula
Allah menyebut yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya”. ( al-Nisa’ 4 : 103 )
“Dan
dirikanlah solat (wahai Muhammad, engkau dan umatmu) pada dua bahagian
siang (pagi dan petang) dan pada ketika yang berhampiran dengannya dari
waktu malam, sesungguhnya perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa
perbuatan-perbuatan yang buruk, itulah peringatan bagi orang-orang yang
mahu beringat“. ( Hud 11 : 114 )
“Dirikanlah
solat ketika gelincir matahari hingga waktu gelap malam dan
(dirikanlah) solat subuh sesungguhnya solat subuh itu adalah disaksikan
(keistimewaannya)”. ( Al-Isra’ 17 : 78 )
“Oleh
itu bersabarlah engkau (Wahai Muhammad) akan apa yang mereka katakan,
dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan
sebelum terbenamnya dan beribadat sesaat dari waktu malam dan pada
sebelah siang supaya redha (dengan mendapat sebaik-baik balasan)“. ( Taha 20 : 130 )
Berdasarkan
kepada ayat al Quran ini, Allah mengatakan solat itu ditetapkan di atas
waktu-waktunya. Dan Allah juga telah menyatakan di dalam ayat di atas
ini bahawa pada dua waktu siang, dan berhampiran dengan malam, di waktu
gelap malam dan waktu subuh.
Malah di dalam sebuah hadis shahih nabi secara spesifikkan waktu-waktu solat ini:
Daripada
Abdullah Ibni Amru bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Waktu Zohor
bermula apabila gelincir matahari sehingga panjang bayang sesuatu objek
sama panjang dengan objek tersebut. Waktu Asar bermula apabila panjang
bayang sesuatu objek, sama panjang dengan objek, pula sekiranya matahari
belum kekuningan. Waktu Maghrib bermula apabila matahari kekuningan dan
berakhir apabila hilangnya cahaya mega merah (Syafak Ahmar). Dan waktu
Isyak bermula apabila hilang syafak ahmar sehingga tiga perempat malam.
Waktu Subuh bermula dari terbitnya fajar dan berakhir apabila terbit
matahari. Apabila telah terbit matahari maka dilarang mendirikan solat.
Bahawa terbitnya di antara dua tanduk syaitan”. (Diriwayatkan oleh
Muslim no 612)
Malah
terdapat banyak lagi hadis-hadis mengenainya. Saya tidak mahu panjangkan
perbincangan dari sudut pendalilan ini kerana ia terlalu banyak dan
saya rasa cukup sekadar ini kerana saya ingin fokuskan perbincangan yang
dikaitkan dengan ibadat agama Zoroaster.
Nabi Muhammad Meniru Zarathustra?
Melihat
dakwaan wanita ini dengan mengatakan “ia bukan dari Hadis (dari nabi)
tetapi dari agama Zoroaster” maka dakwaan ini sudah tertolak dengan
pendalilan yang telah disenaraikan sebelum ini bahawa sememangnya ia
terdapat di dalam al Quran dan Hadis. Untuk sekadar perbincangan maka
kita raikan dan andai ada dakwaan yang mengatakan nabi Muhammad
menciplak amalan ini dari agama Zoroaster seperti dakwaan Tom Holland
dalam bukunya The Shadow of The Sword.
Di dalam
agama Zoroaster sememangnya mereka memiliki ibadat sembahyang sebanyak
lima kali sehari. Di dalam kitab suci mereka, Zend Avesta, buku Khorda
Avesta, bahagian Gah menyatakan terdapat lima waktu mereka bersembahyang
iaitu Havan, Rapithvan, Uziren, Aevishuthrem, dan Ushen.
1) Waktu Havan dari matahari terbit sehingga tengah hari (Khorda Avesta, Gah Havan: 1-10)
2) Waktu Rapithvan tengah hari sehingga suku petang sekitar 3 PM (Khorda Avesta, Gah Rapithvan :1-12)
2) Waktu Rapithvan tengah hari sehingga suku petang sekitar 3 PM (Khorda Avesta, Gah Rapithvan :1-12)
3) Waktu Uziren dari suku petang 3.30 sehingga terbenam matahari (Khorda Avesta, Gah Uziren: 1-11)
4) Waktu Aevishuthrem dari terbenam matahari sehingga tengah malam. (Khorda Avesta, Gah Aevishuthrem: 1-13)
5) Waktu Ushen dari tengah malam sehingga sebelum matahari terbit. (Khorda Avesta, Gah Ushen: 1-10 )
Oleh
kerana perbahasannya menyebut soal waktu maka kita akan membincangkan
soal waktu. Mungkin sahaja si wanita ini sudah mengetahui atau tidak
yang sememangnya cara Zoroastrian bersembahyang sepenuhnya berbeza
dengan muslim solat. Oleh itu kita tidak membincangkan soal ‘ciplak’
tatacara sembahyang.
Pertama,
sekira dikatakan amalan solat lima waktu di dalam Islam tidak dibuat
oleh nabi Muhammad SAW dan ia direka oleh ulama hadis seperti dakwaan
Islamic House of Israel dan golongan Syiah, maka sila datangkan
perbincangan dari sudut hadis supaya ia dapat dibahaskan. Bukan sekadar
membuat hipotesis semberono.
Kedua,
sekiranya amalan solat yang dianjurkan Islam hampir sama dengan waktu
cara Zoroaster bersembahyang, apa masalahnya? Islam berpandukan dalil
dan hujah. Umat Islam solat lima waktu berdasarkan suruhan Allah dan
rasul. Dan sekiranya hal itu juga dilakukan oleh Zarathustra maka ia
bukan menjadi isu malah boleh menguatkan lagi hujah ilmuan yang
mengatakan kemungkinan besar Zarathustra yang dikatakan pengasas
Zoroaster itu adalah seorang rasul yang membawa syariat Islam sebelum
nabi Muhammad yang tidak diceritakan oleh al-Quran, firman yang
bermaksud :
“Dan
sesungguhnya telah Kami utus beberapa orang rasul sebelum kamu, di
antara mereka ada yang Kami ceritakan kepadamu dan di antara mereka ada
(pula) yang tidak Kami ceritakan kepadamu.” (Al-Mu’min: 78).
Terdapat
ulama seperti Ibnu Hazm di dalam kitab al Fasl fi al-Milal wa-al-Ahwa’
wa-al-Nihal mengatakan kemungkinan besar Zarathustra itu adalah seorang
rasul yang tidak diceritakan dalam al Quran. Malah Ibn Hazm juga
mengatakan Majusi (Zoroastrian) adalah ahli kitab seperti Kristian dan
Yahudi. Ini kerana Zarathustra juga membawa aqidah tauhid.
Malah terdapat ramalan kehadiran Nabi Muhammad yang disebut oleh beliau di dalam kitab suci Zoroaster.
Ketiga,
bagi golongan mengatakan Islam ini adalah agama ciplak dari agama lain,
sila teliti terlebih dahulu ‘world view’ aqidah Islam. Islam bukan
sebuah agama baru yang diasaskan oleh nabi Muhammad SAW dan perkara
inilah yang sering disalahfahami. Islam adalah agama yang diturunkan
dari zaman berzaman oleh Allah kepada rasul-rasulnya. Malah sekiranya
terdapat persamaan dari sudut aqidah, hukum hakam dan muamalat hal itu
bukanlah suatu masalah kerana terdapat beberapa persamaan di antara
syariat Islam umat terdahulu dengan syariat Islam pada zaman Nabi
Muhammad SAW. Saya membahas perkara ini secara khusus di dalam buku
Menilai Persamaan al Quran Hadis & Bible Mengenai Kehidupan Manusia
yang mana terdapat banyak persamaan seperti tauhid, nabi sujud, larangan
minum arak, larangan makan babi dan lain-lain.
Manakala
dari sudut sejarah dan kronologi membuktikan Islam adalah agama tertua
saya bahaskan di dalam buku Yahudi Kristian Hindu dan Buddha Berasal
Daripada Islam? dan di dalam halaman 248-295 saya membincang khusus
tentang agama Zoroaster.
Keempat,
Isunya adalah jahil tetapi banyak bercakap. Apabila mengatakan Islam
tidak menetapkan solat lima waktu hal ini jelas menolak teks ayat al
Quran dan Hadis yang jelas menyebut tentang solat dan waktu-waktunya.
Kedua dikatakan pula solat lima waktu berasal dari Zoroaster dan ini
adalah sikap ‘cherry picking’ dan berfalasi di dalam mengemukakan
dakwaan. Seperti golongan barat yang lain gemar mendakwa amalan agama
Kristian berasal dari Zoroaster kerana berdasarkan peristiwa pembebasan
Yahudi di Babilon, orang Yahudi sebelum itu tidak ada konsep membina
rumah ibadat tetapi datangnya Cyrus The Great yang merupakan seorang
Zoroastrian menyuruh membina rumah Tuhan (Ezra 6: 3-5). Lalu mereka
mendakwa amalan membina rumah ibadat adalah ciplak dari amalan
Zoroaster. Sedangkan di dalam konteks ayat ini adalah membina rumah
Tuhan seperti Haikal Sulaiman yang dibina sebelum itu.
Tuduhan
yang sama juga digunakan ke atas Islam kononya Islam menciplak ajaran
Zoroaster, Yahudi, Kristian, dan Manichaeisme. Hakikatnya dakwaan ini
tidak berasas sama sekali. Sekiranya mahu perdebatkan isu ini kita ke
pentas yang lain dan saya akan menjawab satu persatu.
Kesimpulan
Islam
berdiri di atas nas dan dalil. Ia bukan agama hipotesis. Muslim itu
sifatnya tunduk kepada segala suruhan Allah dan rasulnya berdasarkan
dalil dan nas itu.
Jika
ditakdir selain Zoroaster terdapat 20 agama kuno lain yang turut
memiliki solat lima waktu seperti umat Islam, maka ia tetap tidak
menjadi masalah. Ini kerana muslim berpegang kepada teksnya dan Islam
bukanlah agama sinkretisme.
Wallahua’alam
Team R&D Multiracial Reverted Muslims (MRM)
No comments:
Post a Comment