Monday, June 5, 2017

Penduduk miskin Kg Numbak ‘ditipu’ RM200 ribu, mana janji wakil rakyat UMNO selesai isu tanah?



Oleh



KOTA KINABALU: Kerajaan diminta bertindak segera menyelesaikan isu penempatan penduduk dan kemudahan infrastruktur di Kg Numbak yang serba daif, seolah-olah dipinggirkan terus dari pembangunan.

Isu penempatan Kg Numbak sudah berlarutan lebih 10 tahun sejak tahun 2001 dimana penduduk kampung yang asalnya tinggal di Teluk Sepanggar dipindahkan ekoran pembinaan pengkalan Tentera Laut Di-Raja Malaysia di kawasan tersebut.

Difahamkan, Ahli Parlimen Sepanggar ketika itu, Datuk Jumat Idris, telah berjanji untuk menempatkan penduduk di kawasan paya bakau seluas 16 ekar tidak jauh dari penempatan sekarang.



Dalam masa yang sama, penduduk kampung turut diminta wang sejumlah RM500 setiap keluarga bagi kerja-kerja penambakan kawasan tersebut.

Hasilnya, lebih RM200,000 wang penduduk berjaya dikumpul, namun sehingga kini penduduk terpaksa berputih mata kerana tanah yang dijanjikan untuk mereka diragui statusnya berikutan dakwaan tanah tersebut adalah milik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Penduduk turut mempertikaikan peranan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karambunai, Datuk Jainab Ahmad gagal menyelesaikan masalah tanah kampung mereka walaupun sebelum ini pernah berjanji akan menyelesaikan perkara ini bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Musa Aman.

Namun sehingga kini, kebajikan serta permasalahan penduduk tidak lagi dihiraukan, malah tidak diambil peduli menyebabkan penduduk terpaksa hidup dalam keadaan yang seba daif.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin dalam sidang medianya memberitahu, keadaan serta permasalahan penduduk Kampung Numbak adalah hasil keluhan dan aduan penduduk kampung sewaktu lawatannya bersama beberapa pimpinan DAP Sabah iaitu Pengarah Pendidikan Politik, Adrian Lasimbang; Penolong Setiausaha, Tan Lee Fatt dan Setiausaha Politik Ahli Parlimen Kota Kinabalu Julfazli Shi Ahmad.

Walaupun lokasi kampung berkenaan tidak jauh dari pusat bandar Kota Kinabalu, namun keadaan kampung yang tidak teratur dan kotor, menunjukkan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak menghiraukan langsuang keperluan dan kebajikan asas penduduk di sana.

Apa yang menghairankan, masih ada penduduk yang belum memperolehi paip air bermeter dan terpaksa membeli air dengan harga RM0.50 sen segelen untuk keperluan penggunaan harian.



Jimmy Wong yang juga Penasihat DAP Saba menzahirkan rasa sedih kerana tidak menyangka Kampung Numbak yang lokasinya cuma beberapa kilometer sahaja dari bangunan baru pentadbiran kerajaaan negeri sabah yang bernilai jutaan ringgit, masih dibiar mudur dan serba daif.

Selain keadaan jambatan dan laluan pejalan kaki yang hampir roboh menyukarkan pergerakan, turut menyakitkan mata dengan pemandangan kampung yang kotor dan sarat dipenuhi dengan sampah yang memenuhi penjuru dan bawah setiap rumah, dikuatiri akan menjadi penyumbang kepada pelbagai jenis penyakit dan wabak kepada penduduk kampung terutamanya kanak-kanak.

Menurut Jimmy, pihak kerajaan tempatan sepatutnya menyediakan kemudahan tong sampah bagi membolehkan penduduk kampung membuang sampah secara teratur.

“Lokasi rumah yang terlalu dekat dan padat menyukarkan pergerakan kerana jambatan yang menjadi laluan utama, terlalu usang dan tidak selamat untuk digunakan,” katanya.

Walaupun masalah ini telah dikemukakan penduduk kampung kepada Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat dibawah pemimpin yang juga wakil rakyat UMNO kawasan itu, Datuk Jainab Ahmad, tiada tindakan sebarang tindakan diambil.

“Atas dasar prihatin, tanpa mengira agama dan fahaman politik, DAP sabah bersedia membantu membaiki jambatan yang rosak teruk serta membaiki sebuah surau yang agak uzur untuk kegunaan penduduk yang bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” tegas Jimmy.

Katanya, DAP akan meyegerakan pembaikan jambatan tersebut yang dijangka akan dilakukan pada bulan ini dan akan dibantu oleh penduduk kampung dengan cara bergotong royong.

Keluhan dan masalah yang diutarakan penduduk kampung menjadi perhatian Jimmy.

Beliau akan berusaha mencari jalan terbaik membantu masyarakat disana yang kebanyakannya terdiri dari golongan miskin yang menjadi nelayan sebagai sumber pendapatan harian. –Roketkini.com


No comments: