Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Pandangan mana-mana pemimpin PAS berhubung siapa calon
perdana menteri pembangkang tidak akan dilayan, kata Ketua Penerangan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) , Datuk Kamaruddin Mohd Noor.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk
Mohd Amar Nik Abdullah bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak lagi sesuai
untuk menjadi perdana menteri.
Ujar Kamaruddin sebarang ulasan atau nasihat daripada PAS tidak
diperlukan sementelah parti itu bukan ahli Pakatan Harapan (PH).
"Ini apa pun keputusan PH, PAS bukan anggota PH, jadi pandangan dia tu tidak boleh diambil kira.
"Dia (PAS) bukan anggota PH, jadi tidak memberi kesan apa-apalah pandangan dia," ujarnya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Media kelmarin melaporkan Amar sebagai berkata Dr Mahathir yang juga
Pengerusi PPBM tidak lagi relevan untuk menjadi perdana menteri
berikutan sudah melepasi zaman.
Kamaruddin mempertahankan pendirian Dr Mahathir yang tidak menolak jika
sekali lagi diminta menjawat jawatan nombor satu dalam negara itu.
"Kalau diikut dalam amalan pemerintahan kerajaan Islam yang lepas, umur itu bukan jadi penentu pada had pemerintahan.
"Jadi saya tak tahu lah sejak bila PAS ikut kaedah lain ni."
Dr Mahathir ketika ditemubual secara langsung menerusi Facebook LIVE
berkata beliau akan mempertimbangkan untuk sekali lagi menjadi perdana
menteri jika diminta berbuat demikian.
Sebelum itu, Dr Mahathir pernah menyatakan kesediannya untuk menjadi
penasihat kepada perdana menteri pembangkang jika pakatan itu berjaya
menang Pilihan Raya ke-14 (PRI14).
Bekas Presiden Umno itu yakin beliau mampu membantu negara
menyelesaikan krisis kewangan membabitkan negara, yang padanya dalam
keadaan tenat.
Punbegitu, Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Muhammad Ibrahim
pada Mei lalu mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus pada
suku pertama 2017 disokong oleh permintaan dalam negeri yang bertambah
kukuh, khususnya perbelanjaan sektor swasta.
Ujarnya, dari segi penawaran, pertumbuhan yang lebih baik ini didorong
terutama oleh sektor pertanian yang kembali pulih dan pertumbuhan lebih
tinggi dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.
No comments:
Post a Comment