KUALA LUMPUR: Mahkamah khas jenayah seksual kanak-kanak yang akan
dilancarkan Khamis ini membuktikan keprihatinan kerajaan membanteras
penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak serta melindungi mereka secara
holistik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual menyempurnakan
pelancaran mahkamah itu di pusat pentadbiran kerajaan, Putrajaya.
Kewujudan mahkamah itu juga selaras Rang Undang-undang (RUU)
Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang diluluskan di
Parlimen, April lepas.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan 5,779 kes penderaan
seksual kanak-kanak direkodkan dari 2010 hingga 2015 dengan purata 963
kes setahun.
Statistik polis pula merekodkan 2,759 kes rogol, 412 kes sumbang
mahram, 1,423 kes mencabul kehormatan dan 422 kes luar tabii melibatkan
mangsa di bawah 18 tahun pada 2015 dan 2016.
Negara sebelum ini digemparkan dengan isu pedofilia apabila seorang
jurugambar bebas warga British, Richard Huckle dijatuhi hukuman penjara
seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London pada 6 Jun 2016 atas
kesalahan pencabulan seksual terhadap 23 kanak-kanak di Malaysia serta
bayi dan kanak-kanak di Kemboja hampir sedekad.
Penubuhan mahkamah itu pasti melegakan banyak pihak yang mahukan
penguatkuasaan dan perlindungan berkesan terhadap kanak-kanak yang
menjadi mangsa jenayah seksual.
Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia
(NCWO), Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin berkata,
harapan utama NCWO untuk melihat ibu bapa atau penjaga yang sebelum ini
kurang berminat meneruskan pendakwaan kes melibatkan anak mereka untuk
tampil memperjuangkan keadilan.
Sharifah berkata, NCWO berharap semua kes yang dibawa ke mahkamah itu
dapat diselesaikan dalam masa setahun atau lebih cepat bagi menyemai
keyakinan dalam diri ibu bapa dan penjaga yang institusi kehakiman
komited membela nasib anak mereka.
Dalam pada itu, katanya, kempen kesedaran agar masyarakat membuka mata
mengenai jenayah seksual kanak-kanak juga perlu seiring penubuhan
mahkamah itu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Nazariah Sharie Janon berkata, komitmen
kerajaan perlu mendapat kerjasama masyarakat.
Pensyarah Undang-undang UIAM, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz pula
berkata, penubuhan mahkamah khusus itu menunjukkan kerajaan menyediakan
satu platform lengkap dengan kepakaran berkaitan dan sumber manusia
cekap bagi membicarakan kes melibatkan jenayah seksual terhadap
kanak-kanak.
Selain mengurangkan kesibukan di Mahkamah Tinggi sebelum ini dari segi
hak asasi manusia, mahkamah ini akan memberikan keadilan sebaiknya
kepada mangsa dan tertuduh.
Bagaimanapun, katanya, kesediaan dan kesedaran masyarakat dalam
mendedahkan bukti mengenai jenayah seksual kanak-kanak amat penting
supaya misi kerajaan membanteras salah laku seksual terhadap kanak-kanak
dijayakan ke tahap maksimum.
No comments:
Post a Comment