Friday, June 16, 2017

Isu ceramah dalam masjid: Sivarasa saman Ku Nan

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa memulakan saman fitnah terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung komennya mengenai lawatan masjid yang cukup kontroversi oleh pemimpin PKR itu.

Sivarasa dalam kenyataan hari ini berkata, komen oleh Tengku Adnan atau lebih popular dengan gelaran Ku Nan itu yang juga dibuat di sebuah masjid di Cheras adalah palsu dan berniat jahat.

Menteri itu mendakwa Sivarasa berceramah politik semasa membuat lawatan ke masjid, suatu perbuatan yang dilarang di Selangor.

"Beliau membuat tuduhan palsu bahawa saya membuat ceramah politik dalam masjid, yang merujuk kepada ucapan saya dalam Masjid An-Nur, Kampung Melayu Subang.

"Kenyataan beliau itu adalah jelas berniat jahat kerana beliau tahu saya telah membuat penafian dalam kenyataan akhbar sebelum itu, yang dilaporkan secara meluas.

"Kenyataan palsu beliau membayangkan saya berniat untuk menggunakan masjid bagi tujuan politik dan tidak menghormatinya," kata Sivarasa.

Beliau memfailkan saman tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma Daim & Gamany pada hari Selasa dan telah menerima dokumen saman yang peguamnya akan sampaikan kepada Ku Nan tidak lama lagi.

Lawatan Sivarasa ke Masjid An-Nur pada 24 Mei yang lalu menimbulkan kekecohan dan mencetuskan kemurkaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau seterusnya memohon maaf kepada Sultan Selangor di dalam surat yang menerangkan apa yang sebenarnya berlaku semasa program tersebut.

"Dalam surat itu, saya telah menjelaskan kepada Sultan bahawa saya hanya memberi ucapan ringkas, bukan berceramah atau ucapan politik," katanya.

No comments: