Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terbaru berkaitan dana 1MDB yang diseleweng yang turut menyebut tentang isteri Malaysian Official 1 (MO1).
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman mengesahkan bahawa MO1 yang dinamakan dalam saman pertama DoJ pada tahun lalu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Dalam kenyataan terbarunya Khamis lalu, DOJ mendakwa sebahagian daripada wang AS$620 juta yang didakwa oleh Malaysian Official One (MO1) yang kononnya telah dipulangkan kepada "penderma" beliau telah digunakan untuk membeli loket berlian 22 karat dan rantai leher untuk isteri MO1 pada harga kira-kira AS$27.3 juta.
DOJ juga menuduh ahli perniagaan Jho Low membeli 27 rantai leher emas 18 karat lain dan gelang tangan untuk isteri MO1, bernilai sebanyak AS$1.3 juta.
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil (gambar) berkata, Rosmah tidak boleh hanya menyatakan dakwaan ini sebagai fitnah tanpa membuat apa-apa tindakan.
"Sementara prosiding ini berjalan, Rosmah Mansor juga perlulah memulangkan kesemua barang kenas yang diterimanya bagi membantu penyiasatan sepertimana yang dilakukan oleh pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio yang memulangkan Oscar yang dimenangi Marlon Brando," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Rosmah mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah mempercayai fitnah yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.
Kata beliau, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan media sosial bagi tujuan itu.
Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pula semalam menafikan dakwaan terkini itu dengan menegaskan tiada salah laku dalam 1MDB.
Faiz berkata, Peguam Negara harus menasihati Rosmah mengikuti langkah DiCaprio kerana ia adalah prosedur biasa dalam penyiasatan kes seperti yang pernah dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam rampasan barang mewah milik exco Johor dan pegawai Jabatan Air Sabah baru-baru ini.
"Ketua Polis Negara juga perlulah bersikap lebih profesional dan diligent untuk mencampuri tindakan DoJ ini kerana ia bukan tindakan saman sivil, tetapi tindakan jenayah.
"Ketua Polis Negara perlu menunjukkan beliau lebih cekap daripada FBI dengan mengambil sendiri barang kemas tersebut daripada Rosmah Mansor," katanya.
No comments:
Post a Comment