PUTRAJAYA: Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV)
Tan Sri Isa Samad dan isterinya hadir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) di sini hari ini bagi memberi keterangan berhubung
siasatan terhadap FGV.
Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu pada 9.40 pagi.
Pada 9 Jun lalu, SPRM mengesahkan telah memulakan siasatan terhadap FGV
dan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata semua
saksi termasuk Isa akan dipanggil untuk direkodkan keterangan.
Pengesahan itu menyusuli laporan media pada hari sebelumnya yang
menyebut sekumpulan pegawai dan anggota SPRM mengambil masa lapan jam
bagi menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di ibu pejabat FGV di ibu
negara.
Dilaporkan setakat semalam SPRM telah mengambil keterangan daripada 60 saksi berhubung siasatan itu.
Dua hari lepas pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
mengumumkan Isa dengan rela hati melepaskan jawatan sebagai Pengerusi
FGV berkuat kuasa serta-merta dan jawatan itu kini dipangku oleh Tan Sri
Dr Sulaiman Mahbob.
Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Isa dan Lembaga Pengarahnya
mengarahkan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Datuk
Zakaria Arshad serta tiga pegawai pengurusan kanan FGV bercuti bermula 6
Jun lalu.
Tiga pegawai kanan itu ialah Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan FGV, Ahmad
Tifli Mohd Talha, Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd,
Kamarzaman Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman
Omar.
Isa dilaporkan berkata arahan bercuti itu bagi membolehkan siasatan
dalaman berhubung urus niaga FGV dan Safitex Trading LLC, sebuah
syarikat Afghanistan.
Pada 7 Jun, Zakaria dilaporkan tampil di ibu pejabat SPRM di sini
berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV bagi memberi keterangan
tentang beberapa isu termasuk mengenai tunggakan bayaran syarikat
Safitex kepada anak syarikat FGV iaitu Delima Oil Products.
Bagi mencari penyelesaian terhadap kemelut pentadbiran FGV itu,
kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri
Idris Jala sebagai pihak berkecuali untuk meneliti isu dalaman syarikat
berkenaan.
No comments:
Post a Comment