PUTRAJAYA: Harga siling petrol dan diesel akan tetap diumumkan pada setiap minggu seperti yang sedang dilaksanakan ketika ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri
Hamzah Zainudin berkata pengumuman bahan bakar itu tetap dilaksanakan
secara mingguan walaupun ada permintaan supaya ia dibuat secara bulanan.
"Ada orang kata tukar semula dari mingguan kepada bulanan. Tidak,
sistem yang kita ada ketika ini akan kekal," katanya pada sidang media
selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini. hari ini.
Mengenai formula baharu bagi menentukan petrol dan diesel, yang
bertujuan menstabilkan industri minyak negara, beliau berkata ia masih
dalam peringkat kajian.
Menurutnya beliau telah bertemu dengan syarikat-syarikat minyak untuk
membincangkan formula itu bagi memastikan ia tidak merugikan mana-mana
pihak.
Pada Jumaat lepas, Hamzah berkata satu formula baharu harga minyak akan
diumumkan bagi mengelak pengusaha stesen minyak kerugian sekiranya
harga bahan api itu terus turun mengikut kaedah yang diguna pakai ketika
ini.
Hamzah berkata kerajaan mahu formula itu memanfaatkan semua pihak
termasuk pengguna, dan bukannnya menyukarkan mereka sekiranya stesen
minyak ditutup akibat kerugian.
"Jarak purata stesen minyak adalah kira-kira 25 kilometer dari
satu-satu tempat. Jadi, kalau ada yang tutup, pengguna juga akan susah
terpaksa pergi jauh untuk mengisi minyak," katanya.
Ketika ini, terdapat 3,500 stesen minyak beroperasi di seluruh negara.
Mengulas mengenai sindiket skim piramid, MBI International, Hamzah
berkata siasatan menyeluruh akan dilakukan walaupun pihak syarikat
terbabit mendakwa mereka tidak melakukan sebarang kesalahan.
"Tindakan kita (siasatan) untuk memastikan segala apa yang mereka
(pihak syarikat) jalankan adalah mengikut undang-undang," katanya.
Semalam, Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan skim itu melalui Op Token
2 yang dijalankan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), Polis DiRaja
Malaysia (PDRM) dan Pejabat Peguam Negara.
No comments:
Post a Comment