Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh berkata menteri
Umno Salleh Said Keruak sepatutnya minta perdana menteri menjawab
dakwaan Amerika Syarikat dan bukannnya menuding jari pada pembangkang.
PETALING JAYA: Gobind Singh menghentam menteri Umno Datuk Seri Salleh kerana menuduh pembangkang khianat berkenaan tindakan terbaru Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.
Ahli Parlimen Puchong itu menyifatkan respon Salleh kepada saman sivil DoJ yang difailkan di Los Angeles awal minggu ini untuk mendapatkan semula AS$540 juta (RM2.3 bilion) aset yang dibeli dari dana yang didakwa digelapkan dari 1MDB sebagai tidak masuk asal, kerana “ia bukan khianat sama sekali”.
“Bukan pembangkang yang temui RM2.6 bilion dalam akaun peribadi mereka dan bukan pembangkang yang membelanjakan wang membeli bermacam benda serata dunia yang membawa kepada tindakan DoJ.
“Jadi, mengapa tuding jari pada pembangkang? Beliau sepatutnya minta perdana menteri menjawab dakwaan itu,” kata Gobind, merujuk kepada RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun bank peribadi Datuk Seri Najib Razak pada Mac 2013, yang kemudian diisytiharkan sebagai sumbangan dari ahli keluarga diraja Arab Saudi.
Semalam, Salleh dalam catatan blog menyerang pembangkang berkenaan tindakan DoJ, mengatakan ia perbuatan khianat, dan pelakunya akan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di zaman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Gobind mencemuh Salleh kerana tidak memahami sistem kehakiman Amerika Syarikat dan kerana mendakwa “DoJ sekadar bertindak atas aduan yang diterima dan menyatakan secara jelas aduan sitaan sivil itu mengandungi tuduhan yang tidak terbukti sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya”.
“Itu perkara biasa. Ini bermakna dokumen itu menyatakan perincian dan butiran yang menunjukkan perkara yang akan menyokong tuntutan di mahkamah nanti,” kata Gobind.
“Perincian dan butiran berkenaan pada pandangan kasar juga sudah cukup untuk memulakan penyiasatan di Malaysia dan itu yang kita katakan perlu dilakukan sekarang.”
Gobind menambah menteri itu jelas sekali “tidak faham”.
Pada Khamis, DoJ memfailkan tindakan kedua di California, AS, untuk mendapatkan semula aset termasuk karya seni, barangan kemas dan hak filem yang dipercayai dibayar dengan dana yang disalurkan dari 1MDB.
Aset yang dinamakan dalam permohonan termasuk hak filem kepada 2 cerita komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell. Pembikinan kedua-dua filem itu didakwa dibiayai jutaan dolar dari dana pelaburan Malaysia itu.
Menurut laporan Bloomberg, permohonan semalam merupakan usaha terbaru kerajaan AS untuk menyita aset yang dikaitkan kepada 1MDB, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang dicari DoJ mencecah AS$1.8 bilion.
DoJ mendakwa dari 2009 hingga 2015, lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) milik 1MDB dilencongkan pegawai tinggi dana itu dan rakan mereka.
Saman sivil itu menyusuli tindakan sama oleh DoJ Julai lalu yang mahu menyita aset lain yang juga didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB.
No comments:
Post a Comment