SEKALI lagi, maruah pimpinan negara terutamanya
BN dan pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat isu 1MDB ditampar oleh
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) di hadapan seluruh dunia.
Sampai bilakah nama Malaysia perlu dimalukan sebegitu rupa kerana 1MDB? 1MDB telah menjejaskan nama baik negara.
Persoalan lebih utama ialah apakah pihak berkuasa Malaysia sebegitu lemah dan tidak menyaingi DoJ?
Mengapa
DoJ dapat menyiasat dan membongkar pengaliran tunai 1MDB dengan
sebegitu teliti manakala siasatan 1MDB di dalam negara pula tidak
menampakkan apa-apa hasil?
Sehingga kini, siasatan polis
terhadap 1MDB masih tidak siap-siap. Siasatan yang dilakukan Ketua Audit
Negara yang diserta bersama kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara
(PAC) pula diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Peguam Negara
kita pula bertindak seolah-olah beliau ialah peguambela individu dan
bukannya negara. SPRM pula masih berdiam diri di dalam isu 1MDB. Dan
Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim pula telah menutup kes
terhadap 1MDB.
PAS percaya sebenarnya pasukan penyiasatan Malaysia jauh lebih berkemampuan daripada DoJ.
Pasukan
polis negara umpamanya yang kerjanya sebegitu cemerlang dalam mengesan
aktiviti kehadiran para pengganas sudah tentunya mampu mengendalikan kes
1MDB.
SPRM yang begitu rancak mengesan kegiatan rasuah antara
penjawat awam walau kecil jumlahnya sudah pasti dapat membongkar segala
yang berlaku di dalam 1MDB. Begitu juga dengan kemampuan Ketua Audit
Negara dan Gabenor Bank Negara yang sudah diperakui ramai.
Keempat-empat
pasukan ini semestinya lebih mampu daripada DoJ, tapi malangnya mereka
kini terpaksa mengharungi penghinaan demi penghinaan oleh DoJ kerana
mereka sedang berhadapan halangan-halangan yang tidak boleh disebut.
PAS
berdoa agar pihak berkuasa tempatan diberikan keberanian untuk
membongkar isu 1MDB. Cukuplah hidup dalam keadaan tangan dan kaki digari
dan mata sekadar dapat terbeliak membiarkan kemungkaran yang besar
berlalu manakala telinga terpaksa mendengar arahan untuk mengendalikan
kemungkaran yang kecil.
Kita perlu lebih cekap dan berupaya
bertindak sendiri untuk mengelakkan sebarang campurtangan Amerika. Tapi
apabila kita sendiri melengah-lengahkan siasatan, maka ruang
campurtangan itu terbuka luas.
Walaupun kes DoJ masih di
peringkat tuduhan, nasibnya kini bergantung pada kesetiaan Jho Low. Jika
DoJ menawarkan satu jalan keluar untuk Jho Low dengan syarat beliau
membongkar siapa di belakangnya, kemungkinan besar Jho Low akan
mengambilnya dan ketika itu, segalanya akan terungkai.- HARAKAHDAILY
* Tuan Ibrahim Tuan Man,Timbalan Presiden PAS
No comments:
Post a Comment