SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan apabila
mengumumkan beliau tidak lagi menawarkan dirinya untuk menjadi Perdana
Menteri jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU
14).
Beliau berkata keputusan itu bertujuan mengekang "isu pinggiran
(seperti) .... muslihat perebutan kuasa dan kedudukan atau keterlanjuran
kata kurang sopan dalam Pakatan Harapan" yang menurutnya tidak harus
diizinkan.
"Terkait dengan gesaan untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada
PRU, maka saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calun Perdana
Menteri," kata Ketua Umum PKR itu.
Dalam pada itu Anwar bersetuju bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad harus
diberikan peranan sewajarnya di dalam PH namun menolak usul Parti
Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pimpinan beliau untuk menguasai jawatan
pengerusi dan presiden di dalam pakatan pembangkang itu.
"Adapun usul Bersatu (PPBM) untuk merombak struktur Pakatan
Harapan dengan pimpinan utama parti tersebut menguasai jawatan Pengerusi
dan Presiden dalam struktur baru Pakatan Harapan, dikhuatiri akan
merombak kerangka Pakatan Harapan menjadikannya mirip BN.
"(Justeru) kesediaan semua pihak dalam Pakatan Harapan untuk
meneliti semula dan meminda cadangan tersebut dengan mengekalkan
muafakat asal Pakatan Harapan adalah dialukan," kata Anwar.
Beliau menegaskan keperluan mengekalkan tradisi musyawwarah dan
konsensus seperti mana pengalaman Pakatan Rakyat sebelumnya di mana
semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan Pengerusi hanya
sebagai penyelaras.
Anwar berharap semua pemimpin parti komponen PH memberikan tumpuan
sepenuh kepada persiapan menghadapi PRU 14 dan tidak lagi terjebak dalam
polimik siapa harus ditampilkan sebagai calon PM.
Polemik itu mencetuskan perbalahan di kalangan pemimpin-pemimpin
PKR, PPBM dan DAP dan mendedahkan kerapuhan pakatan pembangkang itu
sendiri.
"Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan
rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan agar segala tenaga dan ikhtiar kita
tertumpu nada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat," kata
Anwar.
Anwar sebelum ini diura-ura sebagai calon PM sekiranya pakatan
pembangkang memenangi pilihan raya namun dalil itu berubah apabila Dr
Mahathir menubuhkan PPBM dan menyertai pakatan pembangkang itu.
Malah parti pimpinan mantan perdana menteri itu di lapor
mengusulkan supaya jawatan pengerusi dan timbalan pengerusi PH di isi
oleh PPBM.
Bagaimanapun cadangan itu disanggah oleh PKR, sekali gus melewatkan
proses mendaftarkan PH dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
PKR semakin resah apabila Dr Mahathir juga beberapa menyatakan
kesediaan untuk menjadi perdana menteri sekiranya mendapat sokongan
"kawan-kawan" dalam pembangkang.
Anwar masih menjalani hukuman penjara setelah di sabit kesalahan
meliwat untuk kali kedua. Beliau tidak layak untuk bertanding pada PRU
14 dan memerlukan pengampunan Yang diPertuan Agong sebelum layak
dipertimbangkan untuk sebarang jawatan kerajaan.
No comments:
Post a Comment