Tuesday, June 20, 2017
Alasan dangkal tiga menteri UMNO pertahan Najib, Rosmah dibidas
Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) perlu menghantar notis bantahan kepada Amerika Syarikat (AS) jika mengesyaki wujud agenda jahat di sebalik tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) negara itu menyiasat skandal syarikat milik negara, 1MDB.
Demikian respon Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng terhadap kenyataan Menteri UMNO-BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang menuduh pengadu skandal 1MDB kononnya bersekongkol dengan pihak pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Rahman Dahlan yang merupakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan media menggesa agar pihak berkuasa AS mendedahkan identiti pengadu terbabit yang didakwanya cuba mengulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.
“Soal siapa yang membuat aduan kepada DoJ dalam hal skandal 1MDB, pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS telah mengumumkan dalam sidang media Julai tahun lalu bahawa DoJ adalah pengadunya,” ujar Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.
“Pengarah Komunikasi Strategik BN (Rahman Dahlan) mesti memohon maaf atas keceluparannya, kecualilah beliau mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan bahawa pengadu adalah rakyat Malaysia.”
Selain Rahman Dahlan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak adalah antara pemimpin UMNO yang paling kuat mempertahankan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Salleh Keruak seperti dilaporkan media mendakwa kononnya siasatan DoJ itu seolah mencampuri hal ehwal dalam negara kerana mendakwa kononnya sebahagian besar aduan pihak berkuasa berkenaan berlaku di Malaysia dan bukan di AS.
Bagaimanapun, menurut Lip Eng kenyataan Salleh itu tidak logik dan tidak selari dengan dokumen saman sivil yang dikeluarkan DoJ berkenaan.
“Saya dengan rendah hati memohon Salleh untuk menjelaskan, ada berapa banyak muka surat daripada saman sivil DoJ setebal 251 mukasurat itu adalah tentang kesalahan yang terjadi di dalam negara, kecuali mungkin berlian merah jambu 22-karat dan barang kemas emas 18-karat yang selamat tersimpan di Putrajaya.
“Malaysia telah pernah menghantar pasukan tentera ke Yaman, Arab Saudi dan Somalia.
Campurtangan ketenteraan seperti ini adalah boleh diterima, tetapi tindakan mahkamah Amerika untuk membantu mengembalikan dana yang dicuri daripada rakyat Malaysia tidak boleh pula; logik jenis apa ini Menteri Komunikasi?” soalnya.
Manakala, Hishammuddin seperti dilaporkan media mencabar DoJ untuk melakukan pendakwaan jika benar terdapat bukti mengaitkan sepupunya, Najib Razak dengan penyelewengan 1MDB.
“Saya juga ingin meminta Hishammuddin supaya membaca sedikit tentang Kleptocracy Asset Recovery Initiative Amerika Syarikat itu,” ujar Lip Eng.
“Inisiatif ini diumumkan oleh kerajaan Amerika pada tahun 2010 dan bertujuan membanteras korupsi skala besar oleh pegawai kerajaan asing dan mengembalikan dana awam kepada tujuan asalnya.
“Prosedur undang-undang Amerika di bawah inisiatif tersebut adalah saman sivil pelucuthakan bagi mengembalikan aset-aset terkait 1MDB yang telah dicuri kepada rakyat Malaysia dan plaintif dalam saman terbabit adalah DoJ.”
Menurutnya lagi, Hishammudin sepatutnya menasihati Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor agar menjadi pihak defenden dalam saman yang dikemukan DoJ jika benar mereka dituduh secara jahat dan salah.
“Pentadbiran Najib sepatutnya tidak ada masalah untuk menjawab tuduhan dalam saman DoJ dan menjelaskan bahawa beliau bukanlah MO1 (Malaysian Official 1) dan Rosmah bukanlah isteri MO1,” katanya. – Roketkini.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment