Dasar, prinsip perjuangan Umno tidak pernah berubah termasuklah perjuangan assabiyah yang menjadi amalan mereka begitu lama.
Pengarah Pilihan Raya Amanah, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, Umno juga telah ditentang oleh Pas begitu lama atas polisi yang mereka laksanakan kerana tidak adil dan wujudnya unsur-unsur kezaliman terhadap rakyat yang diperintah.
Atas dasar tersebutlah tentangan demi tentangan dibuat sejak begitu lama, katanya.
Namun begitu sejak kebelakangan ini, kata beliau, wujudnya kelainan yang amat diragui oleh rakyat mengenai sikap yang berubah seratus peratus.
"Kini Pas memberi oksigen kepada Umno untuk terus hidup setelah hayat mereka tercungap-cungap.
"Lebih mendukacitakan apabila harapan rakyat untuk melihat Umno dan BN tumbang telah dikhianati.
"Bersekongkol dengan Umno atas polisi yang mana perjuangan berbeza dan mezalimi rakyat, tetapi didakwa memperjuangkan hak rakyat," kata Ahli Parlimen Kuala Krai ketika berucap pada program isu semasa di Taman Ria, Sungai Petani, malam tadi.
Malah katanya, Parti Amanah Negara telah pun menyedari sebelum ini bahawa akan ada sesuatu yang tidak kena akan berlaku dalam negara.
"Akhirnya terbukti orang lama dalam parti lama kami akan sekongkol dengan Umno.
"Umno yang mereka tentang dan diamanatkan sejak tahun 1985/86 kini sudah dapat tidur sebantal.
"Atas kesedaran inilah Amanah tidak lagi ingin harapan rakyat dikhianati serta sanggup untuk mengambil alih pemerintahan negara bersama Pakatan Harapan (PH), " tegasnya lagi.
Beliau juga berkata, PH cuma tinggal sedepa sahaja lagi untuk ke Putrajaya dan bukannya langkah yang agak jauh.
Oleh kerana itu tambahnya, kesepakatan dalam PH adalah bagi menukar kerajaan yang penipu kepada kerajaan yang lebih amanah dan bertanggungjawab.
"Kita dah tahu Umno tu pemimpinnya kleptokrasi takkanlah nak sokong lagi penipuan yang ada di depan mata.
"Kalau dah tahu PH mempunyai resipi yang lebih baik, maka duduklah bersama kita.
"Kenapa hendak bersama dengan Umno yang jelas dasarnya menzalimi rakyat, menekan, boros, tiris, seleweng dan seribu satu macam kegagalan yang dipertontonkan, " katanya lagi.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Adun Lunas, Azman Nasruddin, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew serta kepimpinan Bersatu.
No comments:
Post a Comment