shahbudindotcom
Dalam
sidang akhbar oleh Rafizi Ramli sebagai menunaikan janjinya untuk terus
mendedahkan aliran wang daripada akuan peribadi Najib Razak yang
dananya didakwa berpunca daripada SRC International, anak syarikat 1MDB
yang memperolehi pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah
Pencen atau KWAP, tiga pihak lagi dinamakan sebagai penerimanya.
Janji
Ahli Parlimen Pandan untuk meneruskan pendedahannya mengenai wang SRC
International yang diterima Najib setelah sebelum ini menamakan
Nasaruddin Mat Isa, bekas Timbalan Presiden Pas sebagai salah seorang
penerimanya.
Tiga penerima yang disebut Rafizi hari ini ialah:-
Pertama,
Amhari Effendi Nazaruddin, seorang penasihat di Pejabat Perdana Menteri
yang dikatakan berperanan membangunkan aplikasi "NajibRazak" dalam
telefon pintar serta terlibat dalam rundingan penyelesaian hutang antara
1MDB dengan IPIC, baru-baru ini.
Beliau didakwa menerima RM2 juta daripada Najib.
Kedua, Najib sendiri yang didakwa membelanjakan RM3.28 juta untuk pembayaran kepada sebuah kedai barang kemas di Italy.
Rafizi
mempersoalkan pembayaran itu untuk pembelian apa dan untuk siapa kerana
katanya, "Najib sudah tentu tidak membeli barang kemas di Italy itu."
Ketiga, Yayasan Al-Abrar, sebuah badan yang menganjurkan program "Malaysia Berselawat" pada 7 Disember 2013 di Kuala Lumpur.
Rafizi mendakwa yayasan tersebut menerima RM5 juta melalui akaun peribadi Najib di Ambank Islamic Berhad.
Nama
dan jumlah wang yang diterima atau dibelanjakan telah disebut secara
jelas oleh Rafizi dan ia tentunya sudah tersebar luas ke seluruh negara
ketika ini, termasuk ke pengetahuan makcik Felda dan pakcik-pakcik di
kedai kopi.
Sudah barang tentu juga ia sudah pun menjadi modal perbualan mereka sekarang ini.
Ini sudah bahaya!! Lalu, apa yang harus dilakukan oleh tiga nama yang disebut itu?
Setidak-tidaknya
tiga pilihan harus dilakukan oleh ketiga-tiga pihak itu - tampil dengan
berani menjelaskan mengenai wang tersebut, membuat akuan berkanun
menafikannya atau segera menghantar surat saman kepada Rafizi.
Pilihan kini di tangan mereka?
Oppps...dengarnya
Nasaruddin Mat Isa yang namanya disebut sebelum ini pun masih belum
lagi menyaman Rafizi, walaupun sudah hampir dua minggu melafazkan janji
untuk berbuat demikian.
Bila lagi nak saman, Sheikh?
Dalam
masa yang sama, SPRM juga harus melihat pendedahan demi pendedahan oleh
Rafizi ini sebagai rangsangan untuk segera bertindak dalam erti
tanggungjawab kepada negara serta takutkan Tuhan.
Tidakkah
amat memalukan jika SPRM tidak berbuat apa-apa sedangkan pendedahan
secara berterusan dilakukan sebagaimana dijanjikan Rafizi dan di ketika
yang sama, agensi pencegah rasuah itu terus juga melakukan tangkapan
demi tangkapan berkaitan kes lain di sana sini?
Kes yang sudah diletakkan di depan mata oleh Rafizi harap-harap janganlah SPRM diam dan buat tak nampak saja.
No comments:
Post a Comment