KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN)
Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersedia meletakkan calon
daripada parti MCA untuk bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah yang
disandang oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU-14).
Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata calon
daripada MCA berkenaan bagaimanapun hanya akan ditentukan oleh pucuk
kepimpinan Barisan Nasional (BN) pusat kemudian.
“BN Johor akan meletakkan calon di semua tempat, tidak
akan ada yang terlepas termasuk Gelang Patah yang kita telah bersetuju
letakkan calon MCA,” kata Mohamed Khaled.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Badan Perhubungan UMNO Negeri, di Johor Bahru hari ini.
Mohamed Khaled selaku Pengerusi UMNO JOhor berkata
demikian ketika diminta mengulas pengumuman Kit Siang dalam satu ceramah
malam tadi bahawa beliau akan mempertahankan kerusinya pada PRU-14.
“Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau (Lim Kit Siang),” katanya.
Pada PRU-13, pada 2013, Kit Siang menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, bagi menghadapi PRU
14, jentera pilihan raya parti itu sudah melakukan 75 peratus
persiapaan.
Ia termasuk mengenal pasti perkara-perkara yang akan
diperjuangkan untuk rakyat iaitu berhubung keselamatan serta mengesan
jumlah pengundi sebenar masyarakat Melayu di Johor.
“Bagi pengundi itu, kita telah berjaya mengesan seramai 800,000 orang menerusi proses ‘percubaan’ yang dilaksanakan.
“Tentang sentimen mereka, itu adalah rahsia parti tetapi
rata-rata mereka bersama dengan kerajaan negeri dan pusat,” katanya. –
MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment