ANTARAPOS.COM
KUALA LUMPUR: Pembantu warden madrasah tahfiz di Kota Tinggi yang
direman bagi siasatan kes pukul pelajar berusia 11 tahun, dibebaskan
dengan bon mahkamah pada Rabu kerana tiada keterangan yang mencukupi
untuk mendakwanya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata perkara itu diputuskan selepas berbincang dengan Jabatan Peguam Negara.
"Perkara ini bila kita bawa berbincang dengan Jabatan Peguam Negara
mendapati tidak cukup keterangan untuk kita teruskan (dakwaan) di bawah
Seksyen 302, sebab itu mahkmah membenarkan dia (suspek) dijamin bon
mahkamah.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302, tetapi sama ada pertuduhan
boleh dibuat atau tidak itu perkara kedua,” katanya kepada pemberita
selepas majlis penutupan Persidangan Pegawai-pegawai Aset Polis Diraja
Malaysia (PRDM), Khamis.
Di Kota Tinggi, semalam, Hakim Mahkamah Sesyen, Salawati Djambari
membenarkan permohonan polis untuk membebaskan suspek lelaki berusia 29
tahun itu dengan jaminan bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah
sebanyak RM20,000.
Dalam pada itu, Khalid meminta ibu bapa dan guru untuk menyalurkan
maklumat segera kepada polis jika mengesyaki anak-anak mereka terlibat
dalam gengsterisme bagi mencegah aktiviti negatif itu daripada terus
menular di sekolah-sekolah.
"Kita tahu masalah ini wujud, kita mahu selesaikan ia dari bawah, kita
kembali kepada keluarga dalam menangani masalah ini (gengster), jika ada
ibu bapa mengesyaki ada anak-anak terlibat, datang jumpa kita (polis).
"Bukan kita nak tangkap dan rosak masa depan mereka, kita perlu buat
sesuatu betulkan keadaan di peringkat awal sebelum mereka menjadi mangsa
kumpulan haram ini," katanya.
Beliau berkata PDRM juga telah bekerjasama rapat dengan Kementerian
Pendidikan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membendung
masalah gengster di sekolah.
Khalid turut mengesahkan polis menahan tiga penuntut di Sungai Petani,
Kedah kerana disyaki terlibat dalam aktiviti gengster pada Khamis.
Mengulas tentang penahanan dua lelaki warga Turki yang dipercayai
mempunyai kaitan dengan aktiviti mengancam keselamatan negara ini ,
Khalid berkata mereka kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.
"Saya tidak mahu komen mengenai apa yang mereka lakukan, yang pasti
mereka mengancam keselamatan negara,” katanya yang enggan mengulas
lanjut.
No comments:
Post a Comment