Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: PKR berada dalam keadaan yang amat bahaya jika empat wakil
rakyatnya bertindak melompat parti untuk membentuk kerajaan campuran di
Selangor sebagaimana dakwaan yang kini bertiup kencang.
Timbalan Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Dr Salawati Mat Basir berkata, secara tidak langsung dakwaan tersebut
memberi kesan kepada kestabilan PKR di negeri itu.
"Isu lompat parti ini bukan baru. Ia akan keluar apabila ada pergeseran
ada perkara-perkara baru dalam politik. Apatah lagi pembangkang. Jadi
kalau benarlah ada PKR akan lompat parti, itu bermakna PKR berada dalam
keadaan bahaya. Sangat bahaya, pada waktu ini.
"Jadi kita tunggulah, kalau betul jadinya PKR menghadapi PKR krisis
yang teruklah pada saat ini. Kalau benar mereka akan keluar," katanya
ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Baru-baru ini tersebar mesej di media sosial mengatakan empat ADUN PKR
akan meninggalkan parti tersebut untuk menubuhkan kerajaan campuran yang
baru.
Empat ADUN PKR yang dinamakan itu ialah Batu Tiga, Rodziah Ismail; ADUN
Sementa, Dr Daroyah Alwi; ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad dan ADUN Kota
Anggerik, Yaakob Sapari.
Bagaimanapun Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali hari ini menafikan dakwaan berkenaan.
Azmin menyifatkan dakwaan itu timbul ekoran ada pihak yang cemburu dan
sekadar ingin membuat provokasi jahat susulan kejayaan dicapai kerajaan
Pakatan Harapan di negeri Selangor.
Beberapa pemimpin PKR lain termasuk Naib Presiden, Prof Dr Shaharuddin
Badaruddin turut menyangkal dakwaan berkenaan dan menegaskan ianya tidak
benar sama sekali.
Malahan, desas desus itu turut dinafikan Exco kanan PAS, Datuk Iskandar
Abdul Samad kononnya akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di
Selangor susulan keputusan Muktamar PAS memutuskan hubungan tahaluf
siyasi dengan PKR.
Dalam pada itu, Salawati mengibaratkan situasi PKR seperti 'cacing
kepanasan' kerana dihambat dengan pelbagai isu mutakhir ini, termasuk
hala tuju hubungan tahaluf siyasi dengan PAS.
Untuk rekod Muktamar PAS ke-63 baru-baru ini meluluskan usul supaya
tahaluf siyasi dengan PKR diputuskan yang akan dimuktamadkan Majlis
Syura Ulama dalam tempoh terdekat.
PKR sebelum itu terpalit dengan skandal rasuah yang membabitkan
pemimpin mudanya, Datuk Adam Rosly yang kini bercuti sementara daripada
kesemua jawatan parti itu.
"Jadi pada saya isu PKR cacing kepanasan mungkin dengan kes Adam Rosly
kemudian dengan kes yang ini. Jadi PKR dilihat banyak masalah lah.
Kemudian Rafizi pun diajukan kepada pihak berkuasa kerana banyak sangat
perkara yang dia sebut. Jadi pada masa ini PKR dilihat banyak masalah
lah," katanya.
No comments:
Post a Comment