Oleh Nurul Izzah Anwar
Tatkala kerajaan BN berterusan cuba mengalihkan pandangan umum
daripada fakta mengenai ketirisan dalam pengurusan dana awam melalui
‘berita palsu’ yang diterbitkan di media arus perdana, rupa-rupanya ada
dapatan menarik mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang
sengaja disenyapkan.
Perolehan kerajaan RM39 bilion menerusi GST adalah sama dengan jumlah
kerugian yang dicatatkan akibat skandal penyelewengan 1MDB.
Menerusi
kadar GST 6%, rakyat menjadi mangsa kepada penyelewengan kerajaan.
Sementara, pimpinan Pakatan Harapan (PH) kekal konsisten dengan pendapat
bahawa beban akibat GST harus dihentikan segera.
Awal bulan ini, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4)
mendedahkan bahawa 1MDB mengalami kerugian RM39 bilion akibat
penyelewengan dan pengurusan yang lemah dan pada masa sama, kerajaan BN
dijangka mengumumkan kutipan RM39 bilion menerusi GST pada 2016.
Ini jelas menunjukkan cukai yang tinggi kepada rakyat – terutamanya
golongan B40 dengan kadar 6%, boleh dielak sekiranya 1MDB tidak perlu
diselamatkan.
Pakatan Harapan kekal konsisten dengan pendapat kami bahawa GST tidak
sepatutnya dilaksanakan secara terburu-buru dan beban yang diakibatkan
oleh GST harus dihentikan segera.
Saya sekali lagi menegaskan komitmen Pakatan Harapan seperti yang
dinyatakan dalam Belanjawan Alternatif 2017 bahawa semua barangan dan
perkhidmatan akan dikenakan kadar sifar GST sekiranya PH diberi mandat
pada pilihan raya akan datang.
Langkah ini bertujuan mengalihkan beban rakyat yang sengsara akibat kenaikan kos sara hidup susulan pelaksanakan GST 6 peratus.
Apapun, tindakan kerajaan BN berterus-terusan mengenakan cukai yang
membebankan rakyat menerusi GST pada kadar 6% sejak dua tahun yang lalu
jelas membuktikan rakyatlah yang sebenarnya menyelamatkan Kerajaan
Pusat.
* Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN
No comments:
Post a Comment