Monday, May 8, 2017

Makmal dadah diserbu, dadah RM6.8 juta dirampas

 
Polis Pulau Pinang serbu makmal dadah di sebuah rumah pangsapuri di Taman Paya Terubong


Chuah-Ghee-Lye 

GEORGE TOWN: Polis membongkar makmal memproses dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM6.8 juta dalam serbuan di sebuah rumah pangsapuri di Taman Paya Terubong Jumaat lepas.

“Serbuan dilakukan jam 10.30 pagi hasil maklumat dan risikan sejak 2 minggu lepas,” kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye.

Beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki berumur 50 tahun disyaki anggota sindiket dadah itu di hadapan pintu rumah berkenaan.

“Antara dadah yang dirampas ialah 35.3 kg serbuk ecstasy; heroin (13.92 kg); syabu (20 kg); cecair minyak meth (33 liter) dan serbuk kafein (20 kg) .

“Polis turut merampas pelbagai cecair kimia untuk menghasilkan dadah dan peralatan untuk memproses dadah antaranya alat penimbang, kuali, dapur gas dan pewarna makanan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Chuah berkata siasatan mendapati rumah itu disewa dan dijadikan makmal memproses dadah sejak sebulan lepas dan polis tidak menolak kemungkinan sindiket itu berpindah randah dari rumah ke rumah sekitar negeri ini.

“Berdasarkan siasatan, pasaran dadah yang diproses sindiket itu untuk pelanggan terutama di pusat hiburan sekitar negeri ini”, katanya.

Beliau berkata lelaki yang ditahan itu mempunyai 3 rekod jenayah berkaitan dadah serta positif dadah. Dia direman sehingga 12 Mei.

No comments: