Manifesto sebaik mana pun tidak mampu membawa impak yang diingini jika sekiranya pemimpin, ahli atau penyokong yang dilihat sebagai mewakili mana-mana parti dalam Pakatan Harapan membawa mesej yang berlainan dengan manifesto Pakatan Harapan
KUALA LUMPUR: Sebuah badan pemikir milik PKR hari ini berkata logo PKR merupakan alternatif terbaik bagi Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum 14 (PRU 14) sekiranya gabungan pembangkang itu gagal mendaftarkan logo PH sebelum PRU akan datang.
Menurut Ooi Heng, Pengarah eksekutif, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), berpendapat demikian setelah mengambil kira faktor penerimaan oleh pengundi pelbagai etnik.
“Syarat bagi pembangkang menghadapi PRU 14, adalah di mana wujudnya sebuah gabungan parti pembangkang yang bersatu padu dan didaftarkan dengan menawarkan satu logo dan satu manifesto bersama.”
“Pimpinan Pakatan Harapan sedang berusaha menuju ke arah pendaftaran gabungan dengan satu logo dan satu manifesto. Ini satu perkembangan yang positif. Tetapi pelan alternaf harus ada. Pelan alternatif yang dimaksudkan adalah apabila pendaftaran gabungan dengan satu logo baru ditolak atau dilengah-lengahkan sehingga parlimen sudah dibubarkan tetapi pendaftaran logo baharu masih belum dimuktamadkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Ooi, dalam situasi sedemikian, harus ada satu logo alternatif supaya Pakatan Harapan dapat menampilkan dirinya sebagai gabungan parti yang bersatu padu dalam PRU 14.
“Daripada empat logo sedia ada, logo Amanah dan PPBM masih baharu buat pengundi seluruh pelosok negara. Yang dikenali pengundi adalah logo PKR dan DAP. DAP telah berusia 51 tahun sementara PKR telah berusia 18 tahun. Apabila faktor penerimaan oleh pengundi pelbagai etnik diambil kira, seharusnya logo PKR digunakan sebagai logo calon Pakatan Harapan jika sekiranya tiba PRU-14 nanti, logo baharu Pakatan Harapan masih gagal didaftarkan,” tegas beliau.
Ooi turut bercadang, bahawa dalam hal berkaitan manifesto, adalah penting pembangkang menyambung tradisi manifesto era Pakatan Rakyat di mana imej PH haruslah sebagai sebuah gabungan parti yang menawarkan kebijaksanaan secara inklusif, mengangkat kepedulian rakyat, bertanggungjawab dan membawa pembaharuan.
“Namun, manifesto sebaik mana pun tidak mampu membawa impak yang diingini jika sekiranya pemimpin, ahli atau penyokong yang dilihat sebagai mewakili mana-mana parti dalam Pakatan Harapan membawa mesej yang berlainan dengan manifesto Pakatan Harapan apabila mereka berdepan dengan kumpulan masyarakat yang berbeza.”
“Umum sedia maklum bahawa faktor-faktor seperti dana PRU, jentera akar umbi, media, persempadanan kawasan pilihan raya dan bilangan kerusi yang berdepan dengan lawan tiga atau lebih penjuru juga menjadi syarat-syarat yang mempengaruhi sesebuah PRU,” jelasnya lagi.
Ooi turut menyentuh perspektif pengundi di mana menurutnya perkara paling asas adalah sama ada sebuah gabungan parti memaparkan imej dan mesej pembaharuan yang konsisten, pimpinan Melayu yang berkesan dan bersifat menyatupadukan serta harapan gabungan parti itu membentuk kerajaan khususnya di peringkat persekutuan.
“PRU-14 mungkin diadakan dalam masa enam bulan. Secara praktikalnya, penggunaan logo sedia ada sebagai logo alternatif calon Pakatan Harapan harus dibincangkan selari dengan pendaftaran logo baharu,”ujar beliau.
No comments:
Post a Comment