Saturday, May 6, 2017

Kisah Landasan Maut Siam-Burma berat sebelah

Ravichandran D.J Paul
 
DRIG menegaskan bukan menjadi matlamat kumpulan itu untuk mendapatkan ganti rugi bagi mangsa Landasan Maut tetapi sekadar mahu mendapatkan pengiktirafan kepada nasib malang yang mereka lalui


KUALA LUMPUR: Memang ada banyak catatan dalam buku sejarah serta bahan penulisan lain mengenai Landasan Keretapi Maut Siam-Burma yang tercatat sebagai antara sejarah hitam Perang Dunia II.

Kebanyakan dokumen itu mengisahkan nasib yang menimpa kira-kira 60,000 orang tawanan perang Tentera Sekutu (POW) yang dipaksa untuk membina landasan kereta api bermula pada tahun 1943.

Bagaimanapun, bagi Chandrasekaran Ponusamy, Pengerusi Death Railway Interest Group (DRIG), kumpulan yang mengambil berat nasib buruh paksa Landasan Maut itu, sejarah yang ada mengenai landasan itu ‘’berat sebelah’’.

Ia lebih berdasarkan pandangan ahli sejarah Eropah dan POW Tentera Sekutu yang terlibat dalam tragedi itu.

Kebanyakan catatan sejarah tidak mengambil kira hampir kesemua 200,000 orang Asia terdiri daripada rakyat Thai, Burma, Jawa, Cina, Melayu dan Tamil dari Malaya yang dikerah tenaga bekerja membina landasan maut itu.

Hampir separuh daripada pekerja Asia itu akhirnya menemui ajal mereka berbanding 13,000 POW.

Buruh Asia itu memainkan peranan besar dalam pembinaan landasan kereta api dan jumlah yang maut ketika proses pembinaan juga besar, namun mereka disisihkan daripada catatan sejarah.

“Nampak sangat keburukan Landasan Maut itu seperti mahu ditutup, ” kata Chandrasekaran yang juga seorang pengajar persendirian. Ayah beliau bekerja sebagai pemandu kereta api yang menggunakan wap dan turut menjadi buruh paksa untuk Landasan Maut itu.

Sejarah berat sebelah

Semasa mudanya Chandrasekaran banyak mendengar perbualan ayah dengan rakan-rakan sekerjanya. Bagaimanapun, apa yang sampai ke telinganya berbeza daripada apa yang dibacanya dalam buku sejarah dan dokumen yang diarkib.

Menurut beliau, daripada buruh paksa Asia, kira-kira 100,000 orang adalah keturunan Tamil dari Tanah Melayu (kini Malaysia).

Angka ini turut disahkan menerusi surat menyurat bertarikh 1 Okt, 1946 antara Dr C Siva Rama Sastry daripada Kongres Misi Perubatan ke Tanah Melayu dengan pemimpin Parti Kongres di India ketika itu iaitu Jawaharlal Nehru.

Ramai daripada buruh paksa Tamil itu menemui ajal mereka akibat persekitaran kerja yang teruk, layanan kasar, kebuluran, penyakit taun, disenteri dan membunuh diri.

Penderitaan POW memang sudah banyak diceritakan termasuk menerusi gambar yang antaranya menunjukkan POW yang kurus kering di khemah tempat tinggal mereka di sepanjang landasan kereta api itu.

Malangnya, tidak banyak rekod mengenai buruh paksa rakyat Asia dan Chandrasekaran beranggapan kumpulan pekerja itu tidak diendahkan dari awal sehingga akhir. Tidak ada yang mengambil berat akan nasib mereka sewaktu dikerah bekerja di Landasan Maut itu. Malah selepas Perang Dunia II tamat, sebuah kereta api khas dihantar untuk mengambil POW tetapi buruh paksa Asia diberitahu supaya mencari jalan sendiri untuk pulang ke kampung halaman mereka.

Sehingga hari ini tidak ada tanah perkuburan, catatan kenangan atau tugu peringatan sebagai pengiktirafan rasmi buruh paksa Asia yang terkorban di Landasan Maut itu.

Banyak kubur buruh paksa Asia ini berselerak di sepanjang landasan itu dan mereka yang terselamat daripada musibah itu berkata ramai yang berakhir riwayat mereka di dalam Sungai Kwai Moi yang terdapat di sepanjang sungai di mana landasan kereta api itu dibina.

Malah sambutan Anzac Day (hari kebangsaan untuk memperingati tentera Australia dan New Zealand yang terkorban dalam peperangan) di Hellfire Pass Landasan Maut itu tidak memberi pengiktirafan untuk bukan POW yang menemui ajal mereka di situ.

Chandrasekaran merumuskan buruh paksa Asia yang terlibat dalam pembinaan Landasan Maut itu sewenang-wenangnya dilupakan bukan sahaja oleh ahli sejarah malah negara asal mereka.

Landasan Kereta Api Maut itu adalah tarikan utama di Thailand pada hari ini. Mereka yang berkunjung ke tempat itu akan bertumpu ke tanah perkuburan POW, Muzium Landasan Kereta Api Thai-Burma serta Jambatan merentangi Sungai Kwai tanpa sebarang tanda penglibatan buruh paksa Asia.

Mangsa rakyat Asia

Chandrasekaran sendiri pernah bertemu dengan beberapa orang buruh paksa Landasan Maut yang berkongsi pengalaman perit mereka tetapi golongan ini terus dipinggirkan sejarah.

Sekumpulan kecil yang masih hidup ini semakin lanjut usia menghampiri 100 tahun tetapi ada yang masih boleh mengingati kisah duka mereka.

Ellian Kannian dari Jeram, Kuala Selangor dihantar untuk bekerja di Landasan Maut itu bersama saudara lelaki dan abang iparnya. Apabila dapat kembali ke kampung halaman, Ellian balik sendirian dan dari masa ke semasa beliau berkongsi kesengsaraan hidup serta tragedi yang berlaku ke atas buruh paksa Landasan Maut itu.

Kebanyakan yang terselamat sudah pasti akan bercerita tentang bagaimana sesetengah buruh paksa itu yang tidak sanggup lagi menanggung penyakit atau penderitaan akan membiarkan diri mereka dipatuk ular beracun atau melompat ke atas landasan apabila ada kereta api lalu.

Beberapa kali terdapat cubaan oleh beberapa individu dan kumpulan kecil untuk mengumpulkan buruh paksa yang masih hidup sekitar 1960an dan 1970an tetapi usaha itu gagal.

Sehubungan dengan itu, Chandrasekaran menubuhkan DRIG untuk mewujudkan kesedaran mengenai penduduk Asia yang menjadi buruh paksa Landasan Maut serta tragedi kemanusiaan yang berlaku.

DRIG turut menganjurkan beberapa siri simposium serta lawatan ke tapak Landasan Maut.

Menurut Chandrasekaran, DRIG juga mengambil usaha untuk membuat kerja-kerja penyelidikan serta, mendokumenkan maklumat di samping berkongsi kisah pengalaman pahit mereka yang masih hidup sebelum mereka dilupakan terus.

Beliau turut menegaskan bukan menjadi matlamat kumpulan itu untuk mendapatkan ganti rugi bagi mangsa Landasan Maut tetapi sekadar mahu mendapatkan pengiktirafan kepada nasib malang yang mereka lalui.

Simposium yang diadakan pada September 2016 mengenai isu ini mendapat sambutan hangat dengan penyertaan antara 400 hingga 500 orang.

Antara langkah yang perlu dibuat untuk mengekalkan memori insiden yang berlaku, perlu ada tugu peringatan seperti yang dibina untuk POW di tapak Landasan Maut.

Menurut Chandrasekaran, malah sehingga hari ini sekiranya ada penduduk Asia yang mahu memperingati moyang mereka yang meninggal dunia sewaktu pembinaan landasan kereta api itu, mereka tidak ada tempat untuk dituju.

Ini berbanding dengan waris POW Tentera Sekutu yang boleh pergi ke tugu peringatan perang.
Tiga buah tanah perkuburan di Kanchanaburidan Chungkai di Thailand dan Thanbyuzayat di Myanmar adalah bukti nasib yang menimpa tahanan perang yang dipaksa bekerja di Landasan Maut itu.

Bagaimanapun, buruh paksa Asia ditanam di kubur yang tidak bertanda di sepanjang landasan kereta api itu.
DRIG kini sedang mencari jalan bagaimana tugu peringatan boleh dibina di satu tempat sepanjang Landasan Maut di Thailand untuk memperingati rakyat Asia yang turut terlibat dalam bsp;pembinaannya. Usaha ini termasuk menyediakan kemudahan seperti calet yang boleh mendatangkan hasil untuk menguruskan tugu itu.

Sebelum itu, DRIG merancang mewujudkan tugu di alam maya yang boleh membantu mengumpul maklumat mangsa daripada mereka yang masih hidup atau waris mereka.

Mereka yang ingin berkongsi kisah boleh menghantar emel kepada chandrasekrn@gmail.com.

Menjejak kisah Landasan Kereta Api Maut

Death Railway Interest Group (DRIG) merancang mengadakan lawatan ke Ban Pong dan Non Pladuk di selatan Thailand pada bulan Jun dengan disertai beberapa orang buruh paksa yang masih hidup.

Non Pladuk adalah stesen tempat di mana kebanyakan buruh paksa dari Tanah Melayu tiba pada tahun 1943 sebelum dibawa masuk jauh ke dalam hutan belantara untuk membina Landasan Maut di bahagian Thailand.

“Bertentangan dengan stesen Non Pladuk ialah kawasan lapang dan pekerja baharu akan berkumpul di situ dan kini ada sebuah kuil Buddha dibina di situ,” kata Chandrasekaran.

Seorang pengiring yang biasa dengan laluan Landasan Maut itu akan mengetuai kumpulan yang dibawa ke sana termasuk meninjau tapak di mana pernah didirikan khemah untuk buruk paksa serta tempat di mana mereka yang meninggal dunia dikuburkan.

Kumpulan ini dijangka menaiki kereta api dari Kuala Lumpur menggunakan khidmat KTMB dan berharap dapat penaja untuk tujuan ini. Mereka yang berminat untuk memberi sumbangan boleh menghubungi Chandrasekaran di chandrasekrn@gmail.com.

Fakta mengenai Landasan Kereta Api Maut Siam-Burma

* Pembinaan bermula pada 1943 untuk mewujudkan laluan bekalan ke Burma (kini dikenali sebagai Myanmar) dan India bagi tentera Jepun.

* Laluan ini menghubungkan Ban Pong di Thailand dan Thanbyuzayat di Myanmar, jarak sejauh 415 kilometer. Satu pertiga daripada landasan kereta api ini terletak di Burma sementara dua pertiga lagi di Thailand.

* Pembinaan landasan ini melibatkan kawasan hutan hujan tropika yang tebal serta lereng bukit yang begitu mencabar termasuk HellFire Pass. Buruh paksa menggunakan peralatan asas sahaja serta kudrat mereka dalam keadaan kerja yang penuh kesengsaraan.

* Para jurutera hari ini mengiktiraf beberapa perkara yang mengagumkan dihasilkan oleh pihak Jepun dan buruh paksa termasuk penggunaan buluh untuk membina lintasan di atas sungai dan lereng bukit.

* Bermula dengan pekerja sukarela dan kemudiannya mengerah buruh paksa dan melibatkan lebih daripada 250,000 pekerja, terdiri daripada orang Asia dan tahanan perang Tentera Sekutu (POW).

* Lebih separuh daripada 25,000 pekerja dipercayai terkorban akibat penyakit, kebuluran serta kekejaman tentera Jepun.

No comments: