Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: "Peralihan kuasa di Selangor perlu ditangguhkan sehingga DUN
negeri itu dibubarkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)", kata
Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata jika peralihan kuasa berlaku dalam masa terdekat ia
hanya akan mengundang rasa gelisah dan tidak tenteram rakyat negeri ini.
"Ya, saya fikir kalau pilihan raya sudah semakin hampir, tidak ada
keperluan diwujudkan suasana yang tidak tenteram dalam konteks
pentadbiran Selangor.
"Bagi pihak PAS, kita akan teruskan agenda sampai pilihan raya," katanya kepada Antarapos.
Tuan Ibrahim diminta mengulas mengenai kedudukan kerajaan Selangor yang
didakwa banyak pihak sebagai berisiko berlaku peralihan kuasa berikutan
Muktamar PAS minggu lalu meluluskan usul memutuskan tahaluf siyasi
dengan PKR.
Semua ADUN perlu mendukung pentadbiran Azmin
Menurut Tuan Ibrahim lagi, PAS tiada halangan jika pentadbiran semasa
melalui mandat rakyat pada 2008 diteruskan sehinggalah pembubaran DUN
setahun akan datang.
"Apa yang berlaku dalam muktamar baru-baru ini tentang usul memutuskan tahaluf, itu kira perkara yang kedua.
"Perkara yang lain akan kita putuskan kemudian dan kita tunggu keputusan daripada Majlis Syura," katanya.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Tuan Ibrahim berharap agar
komponen parti bersikap matang supaya kestabilan politik di Selangor
tidak akan tergugat.
"Saya lihat mandat yang diberikan oleh pengundi ialah mandat sehingga pilihan raya.
"Jadi bagi PAS, pentadbiran Selangor setakat ini tiada masalah apa-apa
pun dan saya lihat rakyat pun boleh menerima pentadbiran yang dijalankan
walaupun daripada pelbagai parti yang ada," katanya.
Justeru beliau berharap agar ADUN Selangor mendukung pentadbiran Azmin untuk menguruskan kerajaan dengan baik.
"Yang penting semua wakil rakyat memberikan sokongan kepada kepimpinan Azmin," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment