BANGI – Walaupun hutang dan tanggungan 1MDB dipindahkan kepada kerajaan melalui Kementerian Kewangan, masalah
dan beban yang dicetuskannya terus menghantui negara dan membebankan
rakyat jelata dengan pembayaran balik hutang yang sangat banyak, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin.
Beliau
berkata, semua orang tahu bahawa banyak urus niaga membabitkan syarikat
milik kerajaan Republik Rakyat China sejak setahun dua ini berhubung rapat dengan usaha membayar balik RM50 bilion hutang 1MDB bagi mengelakkannya daripada diisytiharkan muflis.
“Soalnya, mengapakah Kementerian Kewangan tergesa-gesa tanpa banyak cerita memberikan kontrak Bandar Malaysia kepada konsortium Malaysia-China itu dan baru sekarang bercakap mengenai tawaran terbuka bagi mencari pemaju utama yang baharu?
“Mengapakah
baru sekarang akan mengenakan syarat-syarat yang ketat seperti rekod
pencapaian, kepantasan menyiapkan projek dan kemampuan kewangan?
“Kita juga
berhak tahu mengapa CREC tidak mampu atau tidak mahu membayar harga
saham Bandar Malaysia seperti yang telah dipersetujui? Apakah
ini kerana kerajaan China telah mengetatkan syarat membawa keluar modal
untuk dilaburkan di luar negara atau kerana sebab-sebab lain?,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.
Beliau
yang juga bekas Ketua Pengarang New Straits Times turut mempersoalkan
pemberian kontrak kepada syarikat pembinaan asing, sedangkan banyak
syarikat pembinaan dan hartanah tempatan, termasuk yang dimiliki
Permodalan Nasional Berhad (PNB), Khazanah Nasional Berhad dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), telah membuktikan kemampuan memajukan pembangunan hartanah bersepadu.
Mengulas
kegagalan projek raksasa Bandar Malaysia – diilhamkan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak menerusi Pelan Transformasi Ekonomi – Kadir
berkata, banyak pihak curiga dan mempertikaikan pemberian konsesi
projek itu kepada sebuah syarikat milik China dan sebuah syarikat tempatan yang tidak begitu terkenal dalam sektor pembinaan dan hartanah negara.
3 Mei
lalu, anak syarikat Kementerian Kewangan, TRX City Sdn Bhd mengumumkan
perjanjian pembangunan Bandar Malaysia dengan konsortium Malaysia-China
telah luput. Konsortium itu mengandungi syarikat tempatan, Iskandar
Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC) dari China.
Pada 31
Disember 2015, TRX City Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian
penjualan saham dengan IWH dan CREC. Pada 21 Julai 2016, TRX City Sdn Bhd memindahkan pemilikan dan tanggungjawab 60 peratus saham Bandar Malaysia Sdn Bhd kepada IWH CREC Sdn Bhd. Bandar Malaysia Sdn Bhd adalah pemaju Bandar Malaysia.
“IWH
dimiliki Tan Sri Lim Kang Hoo dan CREC pula adalah salah sebuah syarikat
pembinaan antarabangsa milik Majlis Negara, Republik Rakyat China,” katanya.
No comments:
Post a Comment