Thursday, March 2, 2017

PRU14: PAS Selangor yakin dapat undi kaum Cina

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor yakin ia masih mendapat sokongan kaum Cina dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak meskipun ia tidak mengadakan kerjasama dengan parti politik pembangkang terbesar.
 
Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani seterusnya berkata soal sokongan yang datang daripada kaum tersebut adalah 'kerja' Allah SWT.
 
"InsyaAllah, jangan risau. Semuanya dalam genggaman kekuasaan Allah SWT. Kalau Allah buka hati pengundi mereka akan bersama PAS. Kalau Allah tutup hati pengundi kita serah kepada Allah, kerana Dialah yang membuka dan menutup hati manusia.
 
"PAS tidak pernah percaya teori manusia. Kita yakin dengan apa yang dijanjikan Allah SWT," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Reaksi itu diberikan selepas akhbar harian Cina Oriental Daily, menerusi ruangan analisisnya melaporkan PAS bakal kehilangan sekurang-kurangnya 10 kerusi dalam PRU14 akan datang, selepas hilangnya sokongan daripada pengundi bukan Melayu, khususnya masyarakat Cina.
 
Analisis itu berdasarkan pemerhatian seorang pemimpin pembangkang kepada akhbar berkenaan.
 
Situasi itu didakwa berlaku berikutan pendirian PAS yang enggan bekerjasama dengan DAP dan Amanah dalam pilihan raya.
 
Antara kerusi yang didakwa bakal terlepas daripada genggaman PAS adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Morib.
 
Mengulas lanjut, Dusuki percaya DAP juga berada dalam keadaan 'tidak selamat' dalam PRU14 kerana turut kehilangan sokongan pengundi daripada kaum Melayu.
 
"Bukan sahaja PAS akan hilang kerusi. Pertama kena ingat DAP pun akan hilang kerusi, termasuk parti-parti lain. Ini berdasarkan kajian yang dilakukan. 
 
"Bermakna DAP pun akan hilang kerusi juga sebab mereka pun dapat banyak undi Melayu dan Islam (dalam pilihan raya sebelum ini), termasuklah Amanah dan PKR. Pengundi PAS yang kita lihat adalah berdasarkan 50 peratus daripada pengundi Melayu.
 
Tambah Dusuki, partinya yang dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak terkesan dengan analisis sedemikian, malah yakin PAS mampu menawan Selangor.
 
Pada PRU13 yang lalu, PAS berjaya menang di 15 daripada 21 kerusi di DUN Selangor.
 
Pakatan Rakyat (PR), gabungan pembangkang ketika itu secara keseluruhannya menang 44 daripada 56 kerusi di negeri itu dengan DAP dan PAS masing-masing menang 15 kerusi, PKR pula 14, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memperolehi 12 kerusi.
 
PAS kini tidak lagi bekerjasama dengan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah.
 
Malah ia juga bakal mengkaji tahaluf siyasinya dengan PKR dalam Muktamar Tahunan PAS yang diadakan pada April depan.
 
 

No comments: