Thursday, March 2, 2017

DAP juga bakal hilang kerusi, kata PAS

Bukan hanya PAS yang akan kehilangan pengundi bukan Melayu, DAP juga bakal menerima nasib yang sama

KUALA LUMPUR: Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berpendapat DAP bakal kehilangan sokongan pengundi Cina memandangkan komuniti itu menunjukkan kecenderungan untuk kembali mengundi Barisan Nasional (BN).

Mohd Zuhdi berkata, kajian parti itu mendapati pengundi Cina semakin jelak dengan sikap DAP yang dilihat menjejaskan kestabilan ekonomi dan keharmonian negara.

“Kita nampak kecenderungan pengundi Cina sekarang ini iaitu mereka sudah kembali ke Barisan Nasional, melainkan beberapa kerusi tradisi DAP.

“Antara hasil kajian kita setakat ini, pengundi Cina tidak suka dengan sikap DAP yang ingin menguasai negara, mereka mahu parti-parti pembangkang yang kuat tetapi bukan untuk menguasai negara, apatah lagi menimbulkan suasana yang tidak adil kepada negara seperti 13 Mei dulu.

“Bila ada usaha mewujudkan ketidakstabilan kepada negara, pengundi Cina terjejas, terutama mereka ini di kalangan peniaga, yang bergantung kepada kestabilan ekonomi dan politik jadi tindakan-tindakan DAP dan Pakatan Harapan sejak kebelakangan ini tidak begitu menggembirakan mereka (pengundi Cina),” katanya kepada Berita Daily.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar harian Cina Oriental Daily menerusi ruangan analisisnya yang melaporkan parti Islam itu bakal kehilangan sekurang-kurangnya 10 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang, selepas hilangnya sokongan daripada pengundi bukan Melayu khususnya masyarakat Cina.

Situasi itu didakwa berlaku berikutan pendirian PAS yang enggan bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya.

Antara kerusi yang didakwa bakal terlepas daripada genggaman PAS adalah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Seri Serdang, Chempaka, Meru, Dusun Tua, Tanjung Sepat dan Morib.

Justeru itu kata Mohd Zuhdi, bukan PAS sahaja yang akan terjejas menjelang pilihan raya kelak, malah DAP juga bakal menerima nasib yang sama.

Tambah Mohd Zuhdi lagi, rekod kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar baru-baru ini menunjukkan bahawa PAs mempunyai pengaruh yang tidak dapat dinafikan.

Selain menjadi sebahagian penyumbang kepada kekuatan Pakatan Rakyat sebelum ini menunjukkan bahawa PAS juga tidak jauh ketinggalan dari segi undi popular jika dibandingkan dengan kemunculan Pakatan Harapan dengan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“PAS adalah 50% kekuatan daripada Pakatan Rakyat dulu.

“Ini pun sudah dibuktikan, banyak kajian telah dibuat kajian dibuat oleh PKR sendiri timbul bahawa kekuatan PAS dengan Pakatan Harapan campur PPBM hampir sama sahaja

“Pakatan Harapan dan PPBM ada 24% undi popular, PAS ada 21% undi popular, tidak jauh beza. Maknanya separuh undi pembangkang ada pada PAS,” jelas beliau.

Beliau sementara itu meramalkan DUN Sungai Pelek dan Sekinchan juga berpotensi tinggi untuk jatuh ke tangan PAS apabila kehilangan pengundi Melayu.

“Contoh di kerusi Sungai Pelek, DAP boleh hilang kerusi kerana orang Melayu tidak lagi mengundi mereka.
“Sekinchan pun tidak mustahil akan kehilangan, kerusi Ng Siew Lim. Kalau peratus pengundi Melayu yang dulunya menyokong PAS yang memberi undi kepada DAP dan apabila kita bertanding di situ pun tidak mustahil,” tambahnya.

Pada PRU13 yang lalu, PAS berjaya menang di 15 daripada 21 kerusi di DUN Selangor.

Gabungan pembangkang pada ketika itu iaitu Pakatan Rakyat secara keseluruhannya menang 44 daripada 56 kerusi di negeri itu dengan DAP dan PAS masing-masing menang 15 kerusi, PKR pula 14, manakala Barisan Nasional (BN) hanya memperolehi 12 kerusi

No comments: