Tuesday, February 21, 2017

Task Force Forex Idea Najib Yang Hebat

Kadir Jasin

 
ELOK sangatlah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, menubuhkan Task Force (Badan Petugas) menyiasat kegiatan perdagangan tukaran asing (forex) Bank Negara tahun 1990-an.

Tindakan ini boleh kita jadikan sebagai kajian sejarah kerana ramai yang tua dah lupa dan yang muda tak tahu peristiwa itu.

Dengan itu, rakyat jelata boleh tahu iaitu apa yang berlaku dalam perniagaan forex lebih 20 tahun lalu masih berlaku hari ini.

Perniagaan forex adalah kegiatan biasa bank-bank pusat macam Bank Negara Malaysia.

Misalnya pada 8 Disember lalu, Bank Negara mengaku rizab asingnya jatuh sebanyak AS$1.9 bilion (kira-kira RM8.4 bilion) daripada AS$98.3 bilion (RM442.35 bilion) kepada AS$96.4 bilion (RM433.8 bilion).

Kerugian lebih RM8 bilion itu berlaku sebab Bank Negara guna rizabnya untuk sekat kejatuhan kadar tukaran ringgit tapi tak berjaya.

Jadi selain menyiasat kegiatan forex tahun 1990-an itu, pihak-pihak yang kena siasat boleh tanya mengenai kegiatan forex yang sedang berlaku sekarang.

Nak tanya pasal skandal 1MDB dan SRC International pun boleh juga sebab dua skandal bilion ringgit itu adalah antara punca nilai ringgit jatuh. Bila Bank Negara cuba nak sekat kajatuhan ringgit, Bank Negara pula rugi.

Tapi kena buat cepat-cepat pasal orang yang terlibat dengan perniagaan forex tahun 1990-an itu atau tahu mengenainya tak ramai lagi yang ada.

Seingat saya ada dua orang saja lagi iaitu (Tan Sri) Nor Mohamed Yakcop dan (Datuk) Abdul Murad Khalid. Nor Mohamed jaga forex Bank Negara dan Murad, kalau tak silap, jaga pematuhan (compliance) Bank Negara.

Gambar hiasan: Nor Mohamed dengan peniaga forex tersohor George Soros
(Tan Sri) Zeti Akhtar Aziz pun boleh jadi tahu juga. Mereka bertiga pegawai kanan Bank Negara masa itu. Bank Negara ni badan bebas. Kerajaan tak boleh kacau.  Gabenor masa itu, (Tan Sri) Jaffar Hussein, dah lama meninggal dunia.

Murad Khalid Penolong Gabenor masa kerugian forex
Yang jadi masa lampau adalah sejarah. Tapi yang sedang berlaku sekarang lebih penting sebab ia sedang bebankan kehidupan rakyat jelata.

Pada 30 Disember baru lepas, rizab Bank Negara tinggal AS$94.6 bilion saja. Ini adalah paras paling rendah sejak tahun 2010. Najib jadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sejak tahun 2009.

Dalam tempoh 2015-2016 rizab Bank Negara merosot daripada lebih kurang AS$140 bilion (RM630 bilion) kepada AS$94.6 bilion (RM433.8 bilion). Ertinya dah jatuh AS$45 bilion lebih atau RM202.5 bilion.

Kerugian forex tahun 1990-an adalah RM30 bilion pada kadar tukaran masa itu .
Bila rizab jatuh, nilai ringgit pun jatuh. Bila nilai ringgit jatuh, harga import naik harga eksport turun. Pasal itu harga barang-barang import macam beras, gandum, jagung, susu dan daging naik.

Hari ini masalah paling besar rakyat jelata adalah kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Kejatuhan nilai ringgit serta cukai barang dan perkhidmatan (GST) adalah dua punca utama kenaikan harga pengguna.

Tapi adakah nilai ringgit merudum dan harga barang melambung bila Bank Negara rugi AS$12 bilion (RM30 bilion) pada tahun 1990-an?

Jawabnya tidak. Malah rakyat jelata tak tahu dan tak rasa pun pasal masa itu nilai duit tak merudum dan harga barang tak melambung.

Bawah kelolaan transformasi Najib, ringgit merudum harga melambung. Rakyat jelata susah. Ikan kembung yang dulu makanan orang miskin sekarang naik sampai RM20 sekilo. Itu Utusan Malaysia yang lapor dari Sungai Petani.


Badan Petugas Najib tak mulakan lagi kerja yang nawaitunya nak londeh Dr Mahathir tapi yang terlondeh adalah Najib sendiri.

Inilah bahana buat kerja niat songsang, strategi lintang-pukang dan penasihat bangang. (Bangang tu saya pinjam daripada Najib).

Pasal Menteri Nak Berhenti

Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Azmin Ali kata ada menteri Najib nak cabut pasal tak tahan kena maki dan caci. Spekulasi kata menteri itu (Datuk Seri) Anifah Aman, Menteri Luar. Najib tentulah nafi.

Tapi saya nak tanya, apa kata bukan Anifah tapi (Datuk Seri) Mustapa Mohamed? Sebabnya dia pun dah tak berapa uuump lagi bila Donald Trump tendang keluar TPPA.

Atau (Datuk) Johari Abdul Ghani yang kata kakitangan awam ramai sangat pasal itulah kewangan kerajaan teruk. Ini kenyataan bunuh diri sebab kalau kakitangan awam marah dan tak undil Barisan Nasional, Najib boleh henyut.

Tapi boleh jadi juga Johari sengaja buat harakiri pasal dia dah tengok dengan mata kepala sendiri kedudukan kewangan kerajaan sampai dia surrender.

Atau (Datuk Seri) Ahmad Zahid Hamidi? Tapi Timbalan Perdana Menteri itu pun dah nafi.

Wallahuaklam

No comments: