Saturday, February 18, 2017

Proksi DAP Bertelagah Isu Empat Wakil Rakyat Keluar Parti



4-dap

Keputusan empat wakil rakyat DAP Melaka mengumumkan keluar parti pada Ahad lalu mencetuskan pertelagahan dua proksi dalam parti itu.


Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang mewakili proksi penyokong Dinasti Lim mengaitkan keputusan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dan tiga ADUN Melaka yang lain, Goh Leong San (Duyong), Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choon Seong (Kesidang) mengumumkan keluar parti disebabkan mereka kecewa kerana kalah pemilihan DAP Melaka sebelum ini.

Penyokong Dinasti Lim bermaksud aktivis-aktivis DAP yang berdiri teguh di belakang Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng terus berkuasa dalam parti.

Walau bagaimanapun, kenyataan Chin Tong itu dibidas oleh Naib Pengerusi DAP Selangor, Teng Chang Khim yang mewakili bukan penyokong Dinasti Lim.

“Ini adalah kenyataan yang tidak relevan kerana pemilihan parti telah berlalu untuk satu tempoh masa.

“Chin Tong mungkin sudah terlupa bahawa perjuangan mereka (empat wakil rakyat Melaka) dalam parti adalah lebih lama daripadanya.

“Keanggotaan Tong Him dalam DAP adalah lebih lama berbanding umur Chin Tong,” kata Chang Khim yang juga Exco Kanan Kerajaan Selangor kepada Sinchew Daily.

Pemangku Pengerusi DAP, Tan Kok Wai yang juga mewakili proksi pro-Dinasti Lim melabel keempat-empat wakil rakyat yang keluar parti itu sebagai barah dalam parti.

Namun, ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu mempertahankan empat wakil rakyat itu yang disifatkannya terpaksa membuat pilihan yang sukar.

Katanya, sistem DAP yang sedia ada telah mengizinkan pemimpin menjawat satu-satu jawatan terlalu lama sehingga mereka kekurangan kreativiti dan gagal memperdalamkan sistem demokrasi parti.

“Ahli sukar untuk menyampaikan pandangan sendiri dalam parti.

“Walaupun saya menyuarakan pendapat beberapa kali melalui saluran dalaman, tetapi saya gagal menang kerana saya hanya ada satu undi,” katanya kepada China Press.

Yee Cheu pada masa yang sama bersetuju dengan pandangan empat wakil rakyat Melaka yang meninggalkan DAP bahawa strategi semasa parti itu telah menyimpang daripada prinsip asal DAP.

Senada dengan empat wakil rakyat itu, Yee Cheu juga turut menyuarakan ketidakpuasan hati dengan keputusan DAP untuk berkerjasama dengan PPBM.

No comments: